Suami mangsa dedah isteri sempat jerit minta tolong lepas jatuh dan tertimbun ke dalam lubang benam

Seorang wanita warganegara India berumur 48 tahun tertimbus dalam lubang kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur  akibat kejadian tanah jerlus. Suami kepada mangsa tanah jerlus berhampiran Masjid India, hari ini memberitahu isteri sempat jerit minta tolong selepas terjatuh dan tertimbun ke dalam lubang benam.

“Dia (mangsa) menjerit meminta tolong selepas terjatuh sebelum terus senyap tidak lama kemudian.” kata suami kepada wanita warga India yang terjatuh dan tertimbus. Bagaimanapun, lelaki berusia 40-an itu agak keberatan untuk menceritakan dengan lebih lanjut berhubung kejadian yang menimpa isterinya. Malah, dia juga berdepan dengan kesukaran untuk berkomunikasi.

Setakat jam 3 petang, usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sudah masuk hampir tujuh jam diteruskan menggunakan jengkaut bagi membesarkan lubang benam terbabit untuk memudahkan tugas pasukan penyelamat. Terdahulu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 31 saat memaparkan insiden malang menimpa wanita itu dikongsikan pihak berkuasa hari ini. Menerusi video berkenaan, dapat dilihat mangsa terjatuh ketika berjalan kaki melalui sebongkah kerusi konkrit yang diduduki beberapa individu ketika kejadian.

Mangsa dilihat membawa satu beg di tangan kirinya sebelum terjatuh dalam timbunan tanah, manakala seorang lagi lelaki sempat menyelamatkan diri daripada terjatuh ke dalamnya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya masih dalam proses melengkapkan maklumat berkaitan kejadian itu dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu

“Kita juga akan merakam keterangan saksi bagi membantu siasatan, setakat ini saya tidak boleh komen lebih terperinci kerana ia masih dalam siasatan. Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan anggota Bomba sedang giat melaksanakan kerja penyelamatan di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian. Setakat ini, kawasan itu masih dianggap selamat, bagaimanapun perbincangan lanjut akan diadakan bagi mempertimbangkan sama ada ia perlu ditutup atau sebaliknya.

Seramai 35 anggota dan pegawai bomba, 14 kakitangan DBKL, 32 anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (lima) dan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (empat) turut serta dalam operasi SAR itu. Sumber: Omm.


PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.