Didakwa biadab dan persenda agama Hindu, tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin (Pak Azad), dan Radin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, sebentar tadi. Menerusi video dimuat naik, tiga penyampai radio berkenaan menyatakan mereka tidak mempunyai niat untuk menyinggung hati mana-mana pihak. Malah, mereka juga amat menghormati kepercayaan serta nilai pegangan bagi setiap individu tidak kira bangsa dan agama dianuti. Klik sini untuk lihat video.

“Kami dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf atas kandungan kami baru-baru ini yang telah menyentuh sensitiviti ramai pihak, khususnya rakan-rakan kami yang berbangsa India. Kami akan lebih berhati-hati di masa hadapan,” kata mereka.
Azad atau nama sebenarnya Azad @ Jazmin John Louis Jefri berkata, mereka juga sentiasa menerima teguran daripada orang ramai bagi memperbaiki diri terutama dalam kalangan pendengar setia Era FM. “Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen ataupun kritikan untuk memperbaiki lagi. Sekali lagi, kami menyusun jari memohon maaf diatas kesilapan kami tanpa sedar yang kami lakukan. Maaf sangat sangat daripada kami, 3 Pagi ERA,” kata Azad.
Hari ini, kecoh di media sosial apabila video dimuat naik stesen radio berkenaan didakwa tidak menghormati kepercayaan dan agama penganut Hindu. Menurut Pemuda MIC, Siva Shanker Santasegran kandungan video dimuat naik itu adalah tidak wajar kerana mempersenda mantera suci Hindu Vel Vel. Katanya, mantera berkenaan amat dihormati oleh jutaan penganut Hindu di seluruh dunia, mempunyai makna spiritual yang mendalam. Ia merupakan seruan yang penuh kuasa kepada Dewa Murugan, melambangkan keimanan, kekuatan, dan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.
“Penggunaan Vel Vel dalam konteks jenaka bukan sahaja tidak menghormati, malah menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap budaya dan agama. Mantera dan ungkapan keagamaan bukanlah untuk dipermainkan atau dijadikan hiburan. Tindakan sebegini mencemarkan kesucian kepercayaan penganut Hindu dan memberi gambaran buruk terhadap komitmen organisasi anda terhadap kepelbagaian serta rasa hormat,” katanya menerusi sebuah hantaran di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, mereka menggesa stesen radio berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka dan menghormati semua amalan keagamaan dan budaya masyarakat lain di negara ini. Dalam pada itu, pihak berkenaan disaran untuk mengadakan latihan kesedaran mengenai budaya lain bagi mengelakkan kejadian baru-baru ini tidak berulang kembali.
Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.