BEKAS isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek mempersoalkan keperluan untuk dia membuat permohonan maaf secara terbuka seperti diminta bekas suami sebagai syarat bagi menyelesaikan prosiding komital yang difailkan terhadapnya. Dr Afifah atau lebih mesra disapa Dr Fie, 36, berkata, dia sudah beberapa kali memohon maaf secara peribadi selepas mereka berpisah dan melihat tiada keperluan lain untuk mengulangi perkara sama secara terbuka.
“Bukan tiada keperluan, saya boleh nak minta maaf tapi raya saya dah minta maaf, hari jadi pun saya dah minta maaf. Jadi dia nak permintaan maaf macam mana lagi? Adakah secara terbuka dan atas dasar apa? Kalau saya minta maaf, orang boleh buat spekulasi macam-macam seolah-olah saya yang salah.
Saya dah banyak kali minta maaf selepas berpisah. ‘Maafkan saya, maafkan saya’. Berapa banyak kali saya nak minta maaf?” katanya. Dr Fie berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas prosiding kedua kes komital yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Mengulas mengenai kemungkinan mereka menyelesaikan kemelut berkenaan di luar mahkamah, Dr Fie berkata setakat ini tiada perbincangan peribadi berlaku antara mereka. “Kami hanya berhubung melalui staf atau peguam. Setakat ini pun tiada (perbincangan antara peguam) yang memaklumkan kalau saya minta maaf, kes ini boleh diselesaikan di luar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Fie berharap Nubhan dapat membuka hati dan memberinya ruang untuk dia meneruskan kehidupan demi kebaikan semua pihak terutamanya tiga cahaya mata mereka. “Saya harap dan minta doa orang ramai untuk dia berlembut hati dengan saya. Biar saya teruskan kehidupan. Dia pun boleh meneruskan kehidupan. Saya pun tak nak ganggu dia.
Saya tak boleh nak membolak-balikkan hati dia. Hanya Allah yang boleh membolak-balikkan hati dia. Saya harap dan rayu kepada semua orang di luar sana, jangan trigger dia. Lembutkanlah hati dia untuk saya. Kalau ini berlanjutan sampai Januari atau apa-apa, kasihanlah dekat anak-anak. Saya pun kena jaga hati dan perasaan saya supaya bila ibu mempunyai mental yang baik dan positif, barulah kita boleh melayan anak-anak dengan baik dan positif,” kongsinya
Pada Mei lalu, Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 40, memfailkan prosiding komital terhadap bekas isteri selepas mendakwa Afifah melanggar tiga perintah mahkamah. Untuk rekod, Nubhan dan Dr Fiee mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada 2 Disember 2025 di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.