ISTERI kepada penyanyi Cat Farish iaitu Shikin mengakui masih dalam proses mengenal pasti gaya pemakaian yang bersesuaian sejak berhijab, Julai lalu. Shikin, 42, berkata perubahan ke arah menjadi Muslimah yang lebih baik tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan proses dan usaha secara berperingkat.
“Sebenarnya keputusan bertudung ini agak berat juga. Jadi apabila kita memutuskan untuk berubah ke arah kebaikan, bukanlah terus 100 peratus. Maksudnya saya masih belum sempurna lagi tetapi perlahan-lahan, insya-Allah. Doakan saya. Bila kita nak menutup aurat, kita kena tukar koleksi pakaian hampir 100 peratus. Jadi perlahan-lahan kena cari baju yang labuh.
Buat masa sekarang, ada juga pakaian lama yang saya pakai semula tetapi saya cuba sesuaikan dengan pemakaian lapisan dalam, pakaian yang lebih labuh atau digayakan bersama seluar,” katanya. Shikin berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana filem Siluman: Dendam Harimau Jadian yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Menurut Shikin, penghijrahan dalam soal pemakaian tidak bermakna dia perlu meninggalkan minat terhadap fesyen, sebaliknya masih boleh melakukan teknik campur dan padan dengan koleksi sedia ada. “Fesyen itu masih boleh dipadankan dengan apa yang ada sekarang. Saya memang tengah menuju ke arah kebaikan. Jadi doakan saya perlahan-lahan untuk menutup semuanya,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai pakaian lama yang mendedahkan aurat, Shikin berkata dia memilih untuk melepaskan sebahagian koleksi berkenaan dengan menjual semula atau memberikannya kepada orang lain. Katanya, adiknya iaitu Yaya Maembong turut mempunyai perniagaan pakaian terpakai dan membantu menjual sebahagian pakaian yang tidak lagi dipakainya.
“Sebenarnya memang nak lepaskan. Ada yang saya sedekahkan dan bagi saja kepada orang. Macam sekarang ini, adik saya Yaya ada jual baju terpakai. Jadi pakaian yang saya sudah tidak pakai memang dia akan kumpulkan dan kita bagi untuk dijual di kedai pakaian terpakai dia. Sebahagian lagi saya beri begitu sahaja,” jelasnya.
Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menganggap memberi pakaian seksi kepada orang lain boleh menyebabkan dosa berterusan, Shikin berkata dia turut mengambil kira perkara tersebut sebelum membuat keputusan terhadap pakaian lamanya. “Sebenarnya baju saya tidaklah terlalu seksi.
Tetapi kalau saya rasa ia tidak bersesuaian, memang ada juga baju yang saya buang sahaja,” kongsinya. Pada Julai lalu, Shikin mencuri perhatian ramai apabila tampil berhijab, sekali gus disifatkan sebagai hadiah istimewa buat suaminya, Cat Farish. Untuk rekod, Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli, 52, dan Shikin mendirikan rumah tangga pada 13 Julai 2024.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.