Pelakon Wafariena Roslan mengakui tidak selesa dikaitkan dengan pengakuan usahawan, Iqbal Zulkefli yang secara terbuka, tiba-tiba mendedahkan mahu mendekati dirinya. Pelakon yang terkenal dengan watak Nurul Ain itu bimbang perkara tersebut boleh mengundang spekulasi liar memandangkan mereka baru menjayakan penggambaran sebuah telefilem di Kelantan, baru-baru ini.
“Sejujurnya saya tidak ambil pusing kerana menyangka perkara itu usikan nakal saja disebabkan kami berlakon bersama-sama, tetapi apabila cerita serupa ‘dinaikkan’ dalam beberapa portal dan blog, saya kena bersuara. Saya tertanya-tanya motif dia berbuat demikian memandangkan sepanjang empat hari di lokasi penggambaran, komunikasi kami macam biasa, begitu juga dengan pelakon lain termasuk Nami dan Along Cham,” jelas Wafariena.
Baru pulih daripada kecdraan akibat dari kejadian di lokasi penggambaran baru-baru ini, Wafariena juga enggan pendekatan Iqbal tersebut mengaitkan dirinya dengan publisiti murahan atau sengaja mahu menarik perhatian lelaki di tempat kerja.
“Memang tak seronok dengar spekulasi begini sebab saya ke Kelantan untuk cari rezeki dalam keadaan diri yang belum sembuh sepenuhnya selepas kejadian kecdraan di sebuah set lain. Nanti disangka saya masuk set sebab nak tarik perhatian lelaki atau berpakat menjaja cerita kosong semata-mata mencari publisiti murahan,” katanya.
Semalam Iqbal yang pernah mencetuskan kontroversi cinta dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida berkongsi gambar dengan aktres berusia 27 tahun itu bersama kapsyen “Saya hilang kata-kata nak diungkapkan. Boleh siapa bantu?” Perkongsiannya terus mengundang reaksi warganet yang tinggalkan komen mereka sebagai pasangan sepadan, malah seakan menghangatkan situasi apabila Iqbal terus menjawab usikan ramai dengan memuatnaik hantaran lain.
Menurut Iqbal, dia tidak sempat bertanyakan pelakon jelita itu sama ada dia sudah berpunya atau tidak, namun mengakui tidak mahu mudah bercinta selain sekadar ingin berkawan. Terdahulu, Wafa yang juga bintang 7 Hari Mencintaiku itu memuatnaik video pendek dalam Instagram seperti mengingatkan seseorang supaya jangan mengaitkannya dengan publisiti murahan. Sumber, K!Online