Anak jadi suka makan sayur dan tak bosan. Ketahui 6 cara mudah masak sayur.

Sayur-sayuran memainkan peranan penting dalam menjamin kesihatan tubuh manusia. Youtube @SIO ASMR. Sering kali kita mendengar nasihat supaya mengamalkan pengambilan sayuran yang banyak dalam kehidupan harian, tetapi ramai juga yang sukar untuk menyelitkan makanan hijau dalam makanan mereka. Namun perlu disedari, sayur-sayuran sebenarnya memainkan peranan penting dalam tubuh manusia agar kesihatan lebih terjamin.

Terdapat sejumlah nutrien yang tersedia dalam sayuran termasuklah serat, kalium, asid folik dan vitamin A.Bagi golongan yang sedang berusaha menurunkan berat badan pula, sayuran memainkan peranan dalam menyediakan kandungan serat yang diperlukan supaya perut terasa kenyang lebih lama. Bagaimanapun, terdapat beberapa helah mudah yang anda boleh cuba supaya pengambilan sayuran setiap hari terkawal dan tidak berlebihan, termasuklah;

1. Selitkan sayur dalam menu sarapan

Menambah sayur dalam menu sarapan pagi adalah idea bijak yang mungkin tidak terfikir oleh ramai orang kerana sarapan biasanya lebih kepada menu praktikal seperti bijirin, roti bakar atau hanya segelas susu. Menurut Eating Well, anda boleh mengisar sayur-sayuran menjadi smoothie dengan mencampurkannya bersama buah-buahan. Selain itu, telur dadar dicampur sayur seperti daun bawang, bayam, dan tomato ceri juga adalah bagus.

2. Sup berasaskan sayuran

Dalam semangkuk sup, biasanya anda akan mendapat beberapa khasiat sekali gus yang juga menyumbang kepada kecergasan fizikal dan mental seseorang. Seperti yang dilaporkan oleh Healthline, sup sayur tidak semestinya dihasilkan dalam bentuk sup dan sayuran, tetapi anda boleh sahaja mengisar sayur-sayuran menjadi puri seperti brokoli, tomato, dan bayam serta rempah tambahan lain.

3. Mee sayur-sayuran

Bentuk atau cara menghidangkan makanan juga perlu diberikan kelainan, supaya tidak berasa bosan dengan pengambilan sajian sayuran yang sama. Caranya, hanya gunakan parut atau alat pemotong khas untuk menghasilkan kepingan sayuran seperti mi. Jenis sayuran yang sesuai untuk membuat mi sayur termasuklah lobak merah, zucchini, labu dan keledek.

4. Oatmeal dan sayur

Oatmeal ialah bahan makanan yang fleksibel yang diproses khas menjadi makanan manis atau masin. Untuk oat masin, anda boleh bermain dengan sayur-sayuran cincang dan protein tambahan. Cara membuatnya, masak oatmeal kosong dengan air, kemudian masukkan sayur-sayuran rebus pilihan, tambah telur untuk sumber protein dan taburkan garam, lada sulah serta keju parmesen.

5. Sandwich sayuran

Roti dilapisi aneka inti dan rasa sudah sebati dalam kehidupan masyarakat kini, khususnya disediakan untuk sarapan dan makan tengahari. Kadangkala, sandwich dijadikan makanan ringan kerana ia mudah dibuat dan lazat yang biasanya berintikan keju dan ham serta campuran sayuran seperti salad dan hirisan tomato.

6. Sayur menjadi kerepek

Manakala, kerepek pula adalah makanan ringan yang perlu dimiliki di setiap kediaman. Atas dasar itu, anda boleh sahaja memproses sayuran menjadi kerepek untuk memperbanyakkan pengambilan sayur. Biasanya, kerepek buatan sendiri lebih berkhasiat dengan menambah rempah mengikut citarasa yang tidak mengandungi garam berlebihan. Antara sayuran sesuai dijadikan kerepek termasuklah ubi keledek, kentang, pucuk brussels, atau kangkung. Sumber: mstar

Ibu Bapa Stres Anak Degil. Ketahui 4 Petanda Anak Degil Anda Seorang Yang Pintar.

Anak yang pintar ada ciri-ciri tertentu boleh dikenal pasti. Anak yang pintar dan cerdas tentunya menjadi impian setiap ibu bapa agar mereka dapat membesar dengan sihat, cemerlang dalam pelajaran dan kehidupan. Sudah tentu didikan ibu bapa serta pendidikan sejak awal memainkan peranan penting dalam membentuk minat mereka terhadap pelbagai perkara. Bagaimanapun ada pula kanak-kanak yang memaparkan sifat unik dan tingkah laku luar biasa sehingga membuatkan ibu bapa berasa bimbang dengan perkembangan mereka seperti tidak aktif, suka menyendiri selain tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran.

Namun siapa sangka, tanpa kita sedari, ada beberapa tabiat dan tingkah laku luar biasa ditunjukkan oleh kanak-kanak ini sebenarnya adalah petanda bahawa mereka adalah bayi yang bijak. Ciri-ciri bayi dan kanak-kanak yang cerdas dapat dilihat dengan mudah melalui aktiviti sehariannya di rumah. Ini termasuklah;

1. Suka menyendiri

Jangan bimbang sekiranya anak anda suka menyendiri kerana itu boleh menjadi petanda bawah mereka seorang yang bijak. Biasanya, kanak-kanak dengan kecerdasan tinggi lebih cenderung tidak suka dikelilingi oleh ramai orang selain suka berkawan dengan orang lebih tua. Ini kerana si kecil ingin mendapatkan pemahaman emosi dan intelektual yang lebih tinggi tentang hal-hal di sekitar mereka. Kanak-kanak yang berbakat juga lebih senang menghabiskan waktu sendiri untuk bermain dan biasanya lebih tertarik dengan permainan yang mengasah otaknya seperti puzzle.

2. Degil

Jika anak anda seorang yang degil dan mempunyai cita-cita tinggi, ia boleh jadi petanda dia mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi. Akan tetapi, keadaan ini tidak boleh dibiarkan sepenuhnya dan perlu diperhatikan agar ia tidak bertukar menjadi perkara buruk sehingga tidak boleh ditegur tentang kesilapan dilakukan.

3. Fokus

Kanak-kanak normal biasanya tidak mampu memberi fokus terhadap sesuatu perkara dalam tempoh lama dan mudah terganggu dengan suara atau gerakan di sekelilingnya. Berbeza dengan kanak-kanak pintar, mereka mampu fokus untuk waktu lebih lama.

4. Susah tidur

Anak-anak yang susah tidur memang menjadi kebimbangan ibu bapa kerana ia adalah penting untuk pertumbuhan kognitif dan fizikal mereka. Namun perkara ini tidak berlaku bagi kanak-kanak dengan kecerdasan tinggi. Kanak-kanak yang cerdas memiliki tenaga lebih tinggi berbanding dengan rakan sebayanya. Bayi dengan otak yang bergerak cepat memerlukan banyak masa untuk ‘mematikan’ otak mereka. Atas sebab itu mereka sukar bertenang dan tidur lebih lambat.