Berakhirlah diskriminasi. Rupanya kini Malaysia ada taman permainan khas buat kanak kanak OKU.

Kini kanak-kanak normal dan kelainan upaya boleh bergembira di taman permainan. Taman permainan adalah ‘syurga’ untuk golongan kanak-kanak sehingga ada yang tidak mahu pulang ke rumah. Akan tetapi bagi kanak-kanak kelainan upaya, ada di antara mereka berdepan masalah pergerakan terbatas ditambah pula permainan yang tidak sesuai dengan keadaan mereka menyebabkan golongan ini hanya mampu melihat kegembiraan rakan sebaya lain.
Namun kini tidak perlu lagi bimbang kerana Sime Darby Property Berhad dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) telah melancarkan Inclusive Playground yang pertama di Malaysia bersempena Zero Discrimination Day atau Hari Diskriminasi Sifar.

Inclusive Playground di City of Elmina akan menjadi tumpuan pengunjung terutama kanak-kanak kelainan upaya.

Inclusive Playground ini, terletak di perbandaran Sime Darby Property yang telah memenangi pelbagai anugerah iaitu City of Elmina, Shah Alam ini telah direka bentuk dengan kerjasama kanak-kanak berkelainan serta tanpa kelainan upaya, ibu bapa, penjaga dan pakar-pakar teknikal seperti pertubuhan-pertubuhan orang kelainan upaya, pengamal intervensi awal dan pendidik.

Apa yang menarik mengenai taman permainan ini?

1. Taman permainan ini dilengkapi dengan tanjakan (ramps), serta roda berputar (spinners) and buaian (swings) yang direka khas untuk kanak-kanak kelainan upaya.

2. Kanak-kanak dapat menikmati tiang-tiang deria (sensory poles) dengan merasai tekstur-tekstur berbeza dan memperbaiki kestabilan mereka untuk bermain dengan titian keseimbangan (balancing logs) serta laluan batu-bata (steppingstone slabs).

Izdihar gembira dapat berseronok bersama rakan-rakan tanpa rasa terpinggir.

Salah seorang penyumbang kepada rekaan Inclusive Playground ini termasuklah seorang remaja berusia 16 tahun iaitu Izdihar Janna Adzly yang juga jurucakap Belia Berkelainan Upaya. Izdihar berkata, dia cukup teruja dengan pembinaan taman permainan itu kerana sebagai orang kelainan upaya (OKU) dia juga mahu bergembira bersama rakan-rakan tanpa rasa terpinggir. “Saya suka mengunjungi Inclusive Playground kerana saya boleh bermain bersama rakan-rakan. Apabila saya bermain bersama rakan-rakan kelainan upaya, saya tidak rasa terpinggir.

Pelbagai permainan disediakan dan paling penting sesuai dan selamat untuk kanak-kanak kelainan upaya.

“Saya sangat seronok apabila saya berada bersama-rakan,” ujarnya. Dengan kelulusan serta sokongan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), taman permainan ini mencerminkan penerapan Prinsip Reka Bentuk Sejagat (Universal Design Principles) dan Piawaian Malaysia 1184 (Malaysia Standard 1184) dalam pembangunan ruang awam. Pembinaan Inclusive Playground ini telah bermula pada Februari 2020 dan mematuhi syarat serta keperluan ketat MBSA yang merujuk kepada ketahanan bahan binaan, kaedah penyelenggaraan dan penerimaan orang ramai.

Ia bukan sahaja boleh dinikmati oleh kanak-kanak kelainan upaya tetapi juga golongan normal.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama inovatif ini, sebuah Pekeliling Amalan Perniagaan Terbaik dan Alat Panduan (Best Business Practice Circular and Guidance Toolkit) telah disediakan sempena pelancaran tersebut untuk memberi inspirasi kepada pemaju hartanah dan pihak berkuasa tempatan yang lain untuk membangunkan ruang yang inklusif, selamat dan mesra kanak-kanak, termasuk taman permainan. Sementara itu, wakil UNICEF Malaysia dan wakil khas ke Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, Sime Darby Property dan Majlis Bandaraya Shah Alam telah membuktikan komitmen mereka untuk memperjuangkan hak serta kepentingan inklusif kanak-kanak.

Kanak-kanak berkelainan dan tanpa kelainan upaya dapat bermain bersama-sama di Inclusive Playground. Dengan kerjasama yang strategik, semua pihak bersama dapat memansuhkan pengecualian dan diskriminasi di semua tahap dalam masyarakat malah Malaysa akan mejadi lebih inklusif.

Taman permainan ini membawa keceriaan pada kanak-kanak.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican pula memberitahu pihaknya menyokong penuh hak sama rata kanak-kanak untuk bermain dan menikmati aktiviti riadah di luar, dan Inclusive Playground ini akan menjadikannya satu kenyataan. “Keperluan perkembangan kanak-kanak adalah penting apabila membangunkan suatu perbandaran, dan keterangkuman adalah faktor utama untuk mewujudkan komuniti yang lestari. “Kerjasama ini menggabungkan kecekapan kami dalam pembangunan hartanah serta menegakkan hak asasi kanak-kanak, dengan mengetengahkan nilai tambah dalam mereka bentuk dan pembangunan untuk semua,” jelasnya. Sumber: mstar

Rupanya Produk Ini Pada Asalnya Dicipta Untuk Orang Kurang Upaya. Ketahui 5 Produk Milik Mereka Ini.

Zaman serba moden ni banyak je kan produk canggih yang memudahkan kita sebagai pengguna. Kadang-kadang tu ada satu produk pelbagai fungsi lagi. Tetapi korang nak tahu tak lima produk harian ni sebenarnya dicipta untuk orang kurang upaya. Kalau korang nak tahu, jom kita tengok apakah produknya.

Mesin taip/ Papan kekunci

Sekarang ni semua orang mesti sekurang-kurangnya ada satu laptop atau komputer peribadi kan? Kalau tak pun mesti ada handphoneTetapi, kalau korang nak tahu sebenarnya mesin taip zaman dahulu dan papan kekunci yang ada pada laptop, komputer dan telefon bimbit itu pada asalnya dicipta untuk orang buta. Ia dicipta oleh seorang warga Itali bernama Pellegrino Turri untuk kawannya Countess Carolina Fantoni da Fivizzano yang tidak dapat menulis surat dengan tangan disebabkan cacat penglihatan.

Berus gigi elektrik

Pada tahun 1954, berus gigi elektrik Broxodent telah dicipta untuk membantu golongan yang mempunyai kekuatan, mobiliti dan kawalan yang terhad untuk memberus gigi dengan baik. Didapati ciptaan ini ternyata lebih bagus berbanding berus gigi biasa sehingga pada tahun 2019, kajian mendapati individu yang menggunakan berus gigi elektrik kurang mengalami kerosakan gigi, gusi lebih sihat dan gigi bertahan lebih lama.

Aplikasi ‘speech to text’ dan pengecaman suara

“Hey Siri!”, pengguna telefon pintar seperti iPhone pastinya sudah terbiasa dengan bantuan Siri. Rupanya teknologi seperti Siri ini bukan sahaja terdapat dalam sebahagian besar telefon pintar, tetapi ia juga digunakan dalam pesawat tentera, sistem navigasi/hiburan kereta dan automasi rumah. Jadi, sebenarnya ia dicipta untuk siapa? Ia pada awalnya dicipta untuk mereka yang tidak dapat menulis secara fizikal akses. Dengan menggunakan teknologi ini, ia membolehkan pengguna menghasilkan dokumen bertulis dengan hanya menggunakan suara sahaja.

Kini, terdapat juga variasi produk ini yang dicipta khusus untuk orang yang bekerja di mahkamah atau ahli transkripsi perubatan.

Fidget spinner

Satu permainan yang pernah menjadi sangat popular sekitar tahun 2017 dahulu. Boleh dikatakan kebanyakan kanak-kanak pada ketika itu pasti pernah bermain permainan ini. Fidget spinner ini sebenarnya dicipta untuk membantu menenangkan individu yang mengalami autisme, ADHD dan gangguan kebimbangan. Walaupun tiada kajian yang mengesahkan penggunaan fidget spinner ini sebagai alat penenang, tetapi ramai yang menggunakan ia apabila stress termasuklah dalam kalangan eksekutif perniagaan mahupun pelajar sekolah yang kebosanan.

Straw boleh bengkok

Seorang lelaki bernama Joseph Friedman pada tahun 1930-an telah mengubah reka bentuk straw lurus dengan menghasilkan penyedut minuman yang boleh bengkok. Joseph mendapat idea setelah menyedari anak perempuannya mengalami kesukaran untuk minum air menggunakan straw yang lurus. Justeru, dia mencipta straw bengkok dengan meletakkan skru di dalam straw lurus lalu membalutnya dengan benang gigi untuk mendapatkan kesan beralun.

Walaupun pada asalnya straw bengkok ini bukan dicipta untuk orang kurang upaya, tetapi hospital antara tempat pertama yang menggunakan ciptaan ini untuk membantu pesakit minum dalam keadaan baring.

Sumber: iluminasi