Teringin mahu cuti di eropah, Ini tips penting yang anda perlu tahu jika ke eropah

Bercuti di Eropah ini sememangnya antara impian semua orang, lagi-lagi bagi jenis yang kaki melancong. Tetapi, kos perjalanan dari Malaysia ke negara-negara Eropah agak tinggi kerana perjalanannya yang jauh. Ia juga memerlukan hari cuti yang lebih panjang daripada percutian lain. Kebiasaannya, orang yang melancong di benua Eropah akan melawat beberapa buah negara untuk menjimatkan kos perjalanan ke sana. Jadi, ini dia beberapa tips penting yang anda perlu tahu sekiranya anda ingin bercuti di negara-negara Eropah.

Jumlah Hari Dan Tempoh Tidak Produktif

Eropah merupakan antara tempat yang jauh untuk warga Malaysia melancong ke sana. Jadi, ramai yang mengambil kesempatan masa yang ada untuk melancong sebanyak negara yang mungkin. Akan tetapi, saya tidak mengesyorkan anda untuk pergi bercuti ke Eropah dan melawati banyak negara di sana, lagi-lagi sekiranya tempoh percutian anda singkat. Ini kerana, ia akan memberikan pengalaman yang kurang menyeronokkan. Anda mudah keletihan kerana perjalanan yang jauh dari satu negara ke negara yang lain sekaligus akan banyak menghabiskan masa untuk perjalanan sahaja. Sekiranya tempoh percutian anda singkat, cukuplah sekadar melawati tiga ke empat negara sahaja.

Tempoh tidak produktif ini adalah masa yang dihabiskan dengan perkara yang tidak produktif. Bayangkan perjalanan anda pergi balik ke negara Eropah mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam di atas pesawat. Ini tidak termasuk waktu anda menunggu di lapangan terbang, tempoh jetleg, perjalanan antara satu negara ke negara lain dan sebagainya. Kesemua tempoh tidak produktif anda telah mengambil lebih kurang dua hari percutian anda.

Waktu minimum untuk bercuti di Eropah adalah 7 hari tetapi sekiranya anda inginkan kepuasan bercuti, 10 hari ke 12 hari sudah mencukupi. Jika anda ingin melancong jauh, 14 hari dan ke atas adalah disarankan. Sekiranya anda ingin bercuti di Eropah selama 5 hari, batalkan sahaja niat anda kerana masa perjalanan sahaja sudah mengambil masa 2 hari.

Tema Percutian

Semua orang yang bercuti mesti mempunyai tujuannya trsendiri. Ada yang ingin membeli-belah, melawati tempat bersejarah dan tamadun, mengenali budaya, menikmati keindahan alam, pantai dan pulau, puncak gunung salji dan juga menikmati makanan yang menarik. Kebanyakan negara-negara Eropah mempunyai tempat bersejarah dan tamadun yang menyeronokkan untuk dikunjungi contohnya seperti di Vienna, Prague, Budapest, Munich, Athens, Rome, Cordoba, Istanbul dan lain-lain lagi. Saya sarankan sebelum anda pergi ke tempat bersejarah ini, anda baca serba sedikit sejarah tentang tempat tersebut. Barulah anda akan berasa keseronokannya.

Kos Dan Bajet

Bahagian kos dan bajet ini, semua orang pasti inginkan yang paling murah. Tetapi, lagi banyak bandar yang anda ingin lawati, lebih banyak kos yang akan digunakan. Bandar seperti London dan Paris kebiasaannya akan menyumbangkan kos yang paling tinggi. Negara seperti Sepanyol dan Portugal antara negara yang tidak memerlukan kos yang banyak. Sementara Hungary dan Czech Republic sangat menarik dengan penggunaan kos yang sederhana. Jadi, semasa merancang perjalanan anda, pertimbangkan kos pengangkutan anda di setiap tempat. Pastikan anda mempunyai duit lebih atau kad kredit yang berfungsi untuk digunakan sekiranya terdapat perkara yang tidak diingini berlaku.

Tempat Atau Negara Yang Ingin Dilawati

Ambil tahu tarikan tempat yang anda ingin pergi tersebut supaya ianya akan membuatkan anda lebih teruja. Sekiranya anda tidak sukakan sejarah, saya tidak menyarankan anda untuk pergi ke bandar yang penuh dengan bangunan bersejarah. Ini kerana ia akan membosankan anda sekaligus membuatkan percutian anda tidak menyeronokkan. Jika anda sukakan aktiviti ekstrim seperti bungee jumping dan sky diving, pastikan anda tahu ke mana anda ingin pergi. Pergilah ke tempat yang sesuai dengan jiwa dan minat anda.

Solo, Small Group Atau Family

Sekiranya anda ingin memenuhi kepuasaan bercuti secara maksima, percutian solo adalah yang paling susuai untuk anda. Anda tidak perlu menunggu orang atau mengikut kehendak mereka. Anda boleh mengelolakan percutian anda mengikut suka hati anda, termasuk tempat penginapan, pengangkutan dan makan. Sekiranya anda berkeluarga dan mempunyai anak kecil, cukuplah pergi ke tiga atau empat negara. Tempat seperti Disneyland itu merupakan salah satu tempat yang mungkin menarik perhatian anak-anak anda. Bagi yang bercuti dengan keluarga, bersedialah untuk berkorban sedikit keseronokan anda kerana anda perlu melayan kerenah semua orang.

Pengangkutan

Setiap pengangkutan yang anda naiki memberikan pengalaman yang berbeza. Secara tidak langsung ianya memberi perbezaan terhadap bajet yang akan digunakan dan tempoh tidak produktif anda. Kebiasaannya, melancong di Eropah ini akan melibatkan kapal terbang, bot atau feri, kereta api, bas dan kereta sewa. Walaupun menaiki pesawat lebih menjimatkan masa, anda akan terlepas pemandangan yang cantik di sekitarnya.

Sekiranya anda ingin berjimat, mungkin dengan menaiki bas sudah memadai tetapi akan kerugian lebih banyak masa. Menaiki kereta api sememangnya pilihan ramai kerana anda dapat menikmati pemandangan dan masa yang di ambil juga tidak begitu lama. Akan tetapi, kos yang diperuntukkan mungkin agak mahal mengikut waktunya. Sewa kereta pula lebih ekonomik. Jadi, pastikan anda selidik terlebih dahulu pengangkutan yang mana lebih berbaloi untuk anda naiki.

Tempat Penginapan

Akhir sekali, kos terbesar tetapi tidak memberikan manfaat besar ketika bercuti iaitu tempat penginapan. Penginapan dari hostel ke bilik hotel bertaraf bintang memberikan kesan terhadap kos percutian anda. Jika anda bercuti sendiri atau bersama rakan-rakan, kadang-kala hostel lebih berbaloi. Bagi yang bercuti bersama keluarga, hotel yang boleh memuatkan ahli keluarga dalam satu ruang lebih memudahkan. Tetapi, sekiranya anda pandai dan rajin untuk mencari hotel yang murah dan tidak menyusahkan pergerakan anda di sana, ianya mungkin dapat mengurangkan kos penginapan anda. Sumber, seri wanita