Terlampau sedap menggaru sangat bahaya, Ketahui tips elak anak hidap ekzema dari doktor ini

Dr Syazween (gambar kecil) berkongsi tip mengelakkan anak menghidap ekzema kerap menggaru. Garu memang sedap, sampai leka dibuatnya! Tapi selepas itu pasti menyesal. Sedar tak sedar keadaan kulit bertambah teruk. Situasi begitu sering terjadi pada mereka terutama kanak-kanak yang menghidap penyakit kulit ekzema, sememangnya sukar untuk dikawal. “Doktor, bagaimana hendak hentikan anak saya daripada menggaru?” demikian antara soalan yang sering diajukan kepada seorang pengamal perubatan. Bercakap kepada mStar, Pakar perunding kulit, Dr Wan Syazween Lyana Wan Ahmad Kammal berkata, penyakit ekzema sememangnya kerap melanda kanak-kanak.

Kesan buruk menggaru secara berlebihan.

Beliau yang juga merupakan pensyarah perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) memberitahu tabiat menggaru yang berlebihan akan memberi kesan buruk kepada kulit. “Sering kali saya jumpa di klinik, ibu bapa memarahi anak-anak mereka kerana menggaru. Tabiat menggaru yang berlebihan boleh menyebabkan luka dan jangkitan kuman pada kulit. “Ia juga boleh menerukkan lagi keradangan kulit, menyebabkan kawasan-kawasan ekzema tersebut menjadi tebal dan lebih susah untuk dirawat,” katanya ketika dihubungi mStar.

Berikut adalah tip yang dikongsi oleh Dr Syazween, bagi mengurangkan anak-anak yang menghidap ekzema daripada kerap menggaru. Jangan kata tidak boleh garu. Ia akan membuatkan mereka hanya mahu menggaru lagi! Hanya dengan menghalang mereka daripada menggaru, tidak akan menyelesaikan masalah penyakit mereka. Salah satu teknik adalah menyapu pelembab. Disyorkan supaya mengajar anak kecil untuk menyapu pelembab sendiri. Apabila kulit berasa gatal, jangan garu kulit. Sebaliknya, gosok lembut kawasan kulit yang gatal dengan pelembab. Cara ini boleh mengurangkan kesan luka pada kulit.

Memotong kuku anak-anak.

Potong kuku anak-anak supaya tidak dibiarkan terlalu panjang atau tajam. Jika anak-anak menggaru sekalipun, sekurang-kurangnya hanya hujung jari saja yang terkena dengan kulit dan bukannya kuku. Ini sekali gus mengurangkan luka pada kulit. Distraction technique (teknik alih tumpuan). Cari permainan yang boleh mengalihkan tumpuan dan penggunaan tangan mereka. Apabila tangan mereka ‘sibuk’ melakukan sesuatu, maka ia akan mengurangkan kemungkinan menggaru.

Secara peribadi doktor tidak bersetuju dengan penggunaan gajet. Walaupun ia boleh mengalihkan tumpuan, tetapi tangan mereka masih bebas untuk menggaru secara tidak sedar. Apabila malam pula, pesakit boleh menggunakan sarung tangan atau kaki yang jenis cotton. Pakai pakaian ini bersama dengan krim pelembap. Pastikan tekstur pakaian itu lembut, saiz yang sederhana ketat dan tidak mudah terlucut waktu tidur.

Pemakaian sarung tangan atau kaki yang berjenis cotton.

Cold compress. Pedapkan kulit gatal dengan kain sejuk, diikuti dengan menyapu pelembap. Sesetengah pesakit mendapati mandi sekejap amat membantu. Jangan biarkan peluh lama pada kulit. Air suam kuku, dalam 10 hingga 15 minit sahaja. Gunakan sabun yang sesuai untuk ekzema iaitu yang tiada buih atau pewangi. Elakkan guna scrub atau loofah. Selesai mandi, lap lembut kulit hingga kering. Kemudian, jangan lupa gunakan pelembap.

Sebelum makan, sapu pelembap di kulit muka atau leher anak-anak. Lepas makan, cuci betul-betul sisa makanan atau sos dari muka, leher dan tangan mereka. Sisa-sisa ini boleh memburukkan ekzema jika dibiarkan terlalu lama pada kulit. Boleh letakkan pelembap dalam peti sejuk di bahagian bawah peti ais (bukan di kawasan beku). Sesetengah pesakit menyukainya apabila pelembap sejuk kena pada kulit.

Cari permainan yang boleh mengalihkan tumpuan anak-anak.

Bagi ganjaran! Ada ibu-bapa yang berikan hadiah kepada anak-anak sekiranya mereka tidak menggaru. Mudah saja, mungkin seperti main di luar atau berbelanja makan ais krim. Lawan perasaan garu. Ini agak sukar dilakukan dan tidak teknik yang terbukti dalam kajian. Lain pesakit lain caranya mereka melawan perasaan gatal itu. Ada yang mengira satu hingga 10. Ada yang mengenggam tangan. Ada yang menepuk-tepuk lembut tempat gatal dan tidak kurang juga, ada yang menggosok tangan atas permukaan kain bersih untuk melepaskan perasaan tu.

Perkara paling penting adalah mendapatkan bantuan daripada doktor anda. Semua di atas hanyalah tip untuk membantu mengelakkan anak-anak daripada menggaru. Setiap petua mungkin tidak sesuai diguna pakai oleh semua orang. Harus diingatkan bahawa ia bukanlah rawatan utama untuk mengubati ekzema. Rawatan utama berpandukan kepada kajian terkini, boleh didapati daripada doktor yang merawat. Sumber, mstar