Dr Noor Hisham tampil beri teguran pada Noh Salleh tentang isu runway pegang rokok

Memang tak asing lagi kita dengan pengarah kesihatan ini. Selepas dikritik warganet, tindakan berani penyanyi Noh Salleh tampil memegang sebatang rokok ketika muncul di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) Ahad lalu, ditegur pula Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham.

Noor Hisham menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Twitter, memandang serius perlakuan golongan artis yang memperlihatkan aksi seperti merokok atau menghisap vape depan khalayak ramai. “Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat memandang serius terhadap isu berkaitan artis yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai. “Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutama kepada kanak-kanak dan remaja,” tulisnya.

Pada masa sama, Noor Hisham turut menyeru orang ramai untuk membantu usaha KKM mengekang budaya merokok. “KKM menyeru setiap lapisan masyarakat termasuk artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat,” tulisnya di Twitter. Semalam tular aksi vokalis kumpulan Hujan itu dalam TikTok sewaktu tampil di pentas KLFW2022 sambil memegang sebatang rokok yang tidak dinyalakan.

Bekas suami kepada Mizz Nina itu dilihat membuat aksi cuba meminta pemetik rokok daripada hadirin yang berada di hadapannya sebelum meneruskan langkah sambil meletakkan rokok di mulutnya. Biarpun tidak dinyalakan, penampilan penyanyi berusia 38 tahun itu tetap tidak disenangi banyak mata dek kelakuan yang disifatkan tidak sesuai dilakukan dalam acara nasional. Sebelum ini, Noh pernah mencetus sensasi gara-gara selamba menghisap rokok elektronik ketika ditemu bual media dalam sebuah acara sekitar Julai lalu. Sumber, KOSMO! ONLINE