Raisa mohon warganet henti kritik Nabil Ahmad, Raisa akui tidak ambil hati dengan ajukan gurauan Nabil

Raisa minta warganet henti kritik Nabil. Penyanyi Indonesia Raisa minta warganet berhenti daripada terus menyerang Nabil Ahmad ekoran insiden hos Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) itu mengajuk caranya bercakap dalam bahasa Inggeris ketika memberi komen kepada salah seorang peserta program itu pada malam Ahad lalu.

Raisa atau Raisa Andriana, 32, berkata, dia tidak berkecil hati atau terasa dengan perkara itu malah menganggap ia hanya gurauan semata-mata. “Pada Isnin lalu saya ada jumpa Nabil di konti radio Era, tapi saya sendiri tak ingat apa yang berlaku sebab Nabil cakap terlalu cepat. “Tolong jangan marah Nabil, kesian dia,” ujarnya lagi. Raisa mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media Raisa: Live In Malaysia yang diadakan pada Selasa.

Raisa tampil sebagai juri jemputan GV9 pada Ahad lalu.

Pada konsert minggu kelapan GV9, Nabil menerima kritikan hebat warganet apabila didakwa bersikap tidak profesional dengan mengajuk gaya percakapan Raisa ketika memberi komen peserta program berkenaan. Bagaimanapun Nabil menjelaskan dia dan Raisa sudah bertemu di belakang pentas dan gurauan tersebut boleh membantu menjadikan dia lebih selesa sebagai juri jemputan GV9.

Dalam pada itu, Raisa menjelaskan dia menggunakan bahasa Inggeris ketika memberi komen kepada peserta GV9 kerana bimbang jika apa ingin disampaikan dalam bahasa Indonesia mempunyai maksud berbeza. “Sejujurnya saya takut salah cakap kerana kadang-kadang ada maksud bahasa Indonesia dan Malaysia berbeza. Saya takut kalau komen dalam bahasa Indonesia akan kurang tepat dan jadi salah.

Terangnya lagi “Bagi saya, kalau cakap bahasa Inggeris akan lebih tepat dan tak salah maksud tapi pihak produksi ada beritahu tidak mengapa kalau saya nak cakap bahasa Indonesia,” katanya. Sementara itu, Raisa melahirkan rasa teruja kerana akhirnya dapat mengadakan sebuah konsert di Kuala Lumpur pada 20 November ini.

Raisa bakal menghiburkan peminat di Kuala Lumpur pada 20 November ini.

Kata Raisa peluang itu sedikit sebanyak dapat mengimbau kenangan berada di negara ini kerana keluarganya pernah menetap di Malaysia sekitar tujuh tahun lalu. “Saya teruja dapat mengadakan konsert ini kerana keluarga saya pernah tinggal di Malaysia sekitar tujuh tahun lalu dan saya selalu datang ke sini. “Sebelum ini saya pernah ke Pulau Pinang dan Kota Kinabalu tetapi Kuala Lumpur pertama kali,” katanya.

Raisa turut melahirkan rasa syukur kerana tiket konsert tersebut hampir sold out dan tidak menyangka sambutan peminat di Malaysia sangat memberangsangkan. Penyanyi itu bakal menyampaikan 20 buah lagu popularnya untuk menghiburkan peminat di Kuala Lumpur. Sumber, mstar