Lain orang lain cara didik anak, tapi cara aunty Cina ni didik dapat pujian dari warganet

SETIAP ibu bapa pasti mempunyai cara tersendiri dalam mendidik serta mencorakkan masa depan anak masing-masing. Tidak dinafikan, tentunya timbul perasaan kagum di dalam hati apabila melihat anak-anak kenalan atau jiran yang berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading serta mempunyai karier yang bukan calang-calang. Sedikit sebanyak pasti kita tertanya-tanya apakah tip atau cara didikan orang tua mereka sehingga berjaya melahirkan anak yang hebat. Menerusi satu hantaran di laman Facebook, seorang pelayar, Nurul Atika Moktar berkongsi kisah seorang wanita tua berbangsa Cina yang berjaya mendidik dua anaknya sehingga masing-masing menggenggam ijazah sarjana (masters) dan kini bekerja di luar negara.

Menurut Nurul Atika, wanita tersebut sempat berkongsi tip dan petua mendidik anak ketika dia mengunjungi kedainya di Pasar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. “Anak dia dua orang (pemegang) master. Seorang kerja dekat China, seorang dekat Hong Kong. (Katanya) anak kecil lagi jangan paksa dia tengok buku. Telefon jangan bagi lama-lama. You kena selalu tanya dia. Macam hari ini you pergi pasar. “Bagitahu dia ini sayur apa, ini ikan apa. Sayur ini warna apa. Nanti apabila bapa dia balik, suruh dia cerita sama bapa dia. Mak bawa pergi mana, beli apa, beli berapa, warna apa. Bagi anak you recall, bagi dia boleh cerita semua details,” kongsinya sebagaimana yang diberitahu oleh wanita tersebut.

Begitu juga ketika menemani serta mengajar anak mengulang kaji, wanita Cina tersebut turut berkongsi kaedah yang dilakukannya agar anak-anak tidak tertekan. “Dekat rumah, jangan ajar anak masa you berdiri. You tinggi dia rendah, nanti dia rasa ada jarak. You duduk sama dia, baru dia rasa senang dengan you. “Jangan selalu ajar-ajar dia. Nanti dia rasa tekanan. Ajar 10 minit, kasi dia main. Nanti dia sudah main happy-happy you panggil dia ‘lai’ sini mama mau tanya. Nanti anak sekolah, jangan marah dia tak dapat nombor satu. You marah atau tak marah…sama saja. Benda sudah jadi. Kalau semua orang dapat nombor satu, siapa nak dapat nombor last?

“Jangan banding-banding anak you dengan orang lain. Kalau suka bandingkan nanti anak akan rasa hasad dengki pada orang,” kongsinya lagi. Selain itu katanya, wanita Cina tersebut turut menekankan bahawa ibu bapa sewajarnya menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak, iaitu menerapkan budaya berkongsi dan tidak mementingkan diri atau ego. “Ajar dari kecil bila ada barang ke apa ke, itu bukan dia seorang yang punya. Lagi-lagi share dengan parents. Nanti dah besar dia akan ingat parents. “Lagi aunty tu pesan. Kalau mak bapa ada buat salah, jangan ego tak nak mintak maaf,” kongsinya lagi.

Sehingga kini, hantaran Nurul Atika yang dikongsikan semula di laman Facebook Penang Viral meraih sehingga melebihi 14,000 shares selain dibanjiri dengan ribuan komen warganet dengan reaksi yang pelbagai. Namun rata-ratanya memuji dan mengagumi kaedah serta cara didikan yang diterapkan oleh wanita Cina berkenaan. “Alhamdulillah syukur…. anak-anak akan membesar dengan baik jika kita layan dia dengan seadanya. “Setuju cara macam ni. Bukan guna kaki, tangan atau menjerit-jerit. “Sekarang ibu bapa suka manjakan anak-anak. Anak menangis bagi telefon bimbit,” demikian antara komen warganet.

Sumber, Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.