Lelaki tu siap ajak kahwin lagi, Chacha Maembong kongsikan pernah diekori oleh lelaki misteri

Pelakon Chacha Maembong mendedahkan dirinya pernah diekori seorang lelaki yang mencurigakan ketika dia menghadiri sebuah festival makanan yang berlangsung di Kedah beberapa bulan lalu. Kata Chacha, 27, lelaki berkenaan turut mengetahui di mana lokasi tempat tinggalnya sepanjang berada di negeri itu sehingga membuat dirinya merasa tidak selamat. Susulan itu, aktres tersebut bertindak membuat laporan polis. “Baru-baru ini ada terlibat dengan event di Kedah dan saya dikejar oleh seorang peminat yang tahapnya sampai dia ekori saya dan masuk booth jualan saya. Tapi saya tidak pernah kongsikan hal ini kepada sesiapa.

“Saya rasa tidak selamat, sebab dia tahu saya duduk di mana ketika itu. Setiap kali masuk kereta dia akan ikut belakang kereta saya. Saya rasa diperhatikan lelaki tersebut, terus saya buat laporan polis. Masa di balai juga saya dapat tahu yang rupanya dia dah DM saya di Instagram sebelum ini. Dalam DM itu dia mengajak saya kahwin, dia panggil saya dengan panggilan sayang. Malah dia beritahu isterinya sudah beri green light untuk berkahwin satu lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Suke TV pada Khamis. Biarpun sudah membuat laporan polis, aktres tersebut tidak menyangka apabila lelaki berkenaan datang sekali lagi dan terus mengganggunya.

“Saya ingat lepas buat laporan dah selesai, rupanya tidak. Apabila dia datang lagi di booth saya tetapi ketika itu di kawasan lain namun masih di negeri Kedah. Sewaktu saya nak buka peti ais, dia datang pada saya dan cakap ‘hi sayang’, saya terkejut dan terus terbaring atas jalan raya. Mata saya menjadi gelap. Saya sampai kena anxiety, badan saya menggigil sebab takut sangat. Dia datang kali kedua masa itu dengan sangat berani. Kemudian pihak penganjur halau dia keluar daripada kawasan berkenaan,” tambahnya.

Sementara itu, Chacha turut berkata motif lelaki itu bertindak sedemikian disebabkan dia mencintai dirinya. “Abang ipar saya pernah tanya pada dia, kenapa dia bertindak sedemikian pada saya. Dia jawab ini soal hati, kalau dah sayang nak buat macam mana. Saya rasa keadaan zaman sekarang betul-betul dah tak selamat. Saya rasa semua orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebab kita tak tahu musuh dan orang jahat itu ada di mana-mana,” ujarnya lagi.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *