Dah kenal sejak empat tahun lalu, remaja ini tamatkan zaman bujang sehari lepas tamat SPM

Di kala rakan sebaya dan remaja seusianya mencari kerja sambilan sementara menunggu keputusan peperiksaan, lain pula kisahnya buat Nurul Izzati Abdul Aziz yang menamatkan zaman bujang sehari selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kisah Nurul Izzati, 18, yang menetap di Kampung Sri Pantai, di sini mendapat perhatian selepas jurusoleknya, Nursyakila Wan Abdullah memuat naik perkongsian di Facebook (FB).

Bercerita lanjut, Nurul Izzati berkata, dia selamat diijabkabulkan dengan pasangan, Mohamad Hafiz Hussin, 22, pada 16 Mac lalu di sebuah masjid, di sini. Menurutnya, majlis akad nikah itu diadakan sehari selepas dia menjawab subjek Geografi iaitu kertas terakhir SPM 2022/2023 yang didudukinya. Katanya, perkahwinan itu adalah atas keinginannya sendiri kerana sudah bersedia untuk ke alam rumah tangga dan bukan disebabkan perasaan cinta semata-mata. Saya dan suami sudah berkenalan sejak empat tahun lalu dan perkenalan kami bermula di Instagram (IG). Apa membuatkan saya tertarik dengan suami adalah kerana melihat usahanya untuk mendekati saya walaupun pernah tidak dilayan.

Tahun lalu, hati saya terbuka menerimanya dan akhirnya sepakat mengikat tali pertunangan pada 16 September 2022 iaitu sehari selepas ulang tahun kelahiran saya. Alhamdulillah, jodoh kami panjang dan ditakdirkan menjadi suami isteri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro. Nurul Izzati berkata, kedua-dua keluarga tidak menghalang sebaliknya merestui hubungannya dengan suami sejak awal perkenalan mereka lagi.

Anak ketiga daripada lima beradik itu juga bersyukur kerana majlis dirancang berjalan lancar walaupun dia sibuk dan memberi tumpuan untuk mengulangkaji pelajaran bagi menduduki peperiksaan. Saya bertuah kerana keluarga dan saudara-mara banyak membantu terutama dalam memastikan majlis persandingan yang diadakan pada hari sama dengan pernikahan berjalan lancar. Gementar juga nak akad nikah dan naik pelamin tetapi akhirnya dapat tenangkan diri juga terutama selepas semuanya selesai. Penerimaan keluarga mentua pula sangat baik malah mereka menyambut saya dengan kasih sayang seperti anak kandung sendiri,” katanya yang tidak bercadang menyambung pengajian selepas ini.

Berhubung kisah perkahwinannya yang tular, Nurul Izzati mengakui terkejut dan tahu daripada rakan dan ahli keluarga. Bagaimanapun, dia bersyukur kerana banyak komen positif diterima daripada warganet . Sangat terkejut, terima kasih kepada semua yang mendoakan rumah tangga kami kekal hingga ke Jannah. Walaupun kahwin di usia muda namun saya sudah bersedia menempuh dugaan dalam alam perkahwinan.

Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.