Hadiahkan baju melayu dan duit raya, Nabila Razali tampil dedah cerita sebenar pasal abang motor yang tumpangkan dia

BUATĀ baik dibalas baik. Itulah yang boleh diumpamakan perbuatan seorang penunggang motosikal yang menumpangkan penyanyi Nabila Razali kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan menghadiri sebuah acara di Kuala Lumpur pada malam Ahad lalu. Terharu dengan sikap prihatin pemuda itu, Nabila berbesar hati menghadiahkan sepasang baju Melayu berserta sampul berisi duit raya sebagai tanda terima kasih kepada Ahmad Zakir Zainuddin atas bantuan diberikan.

Zakir, 29, berkata, dia tidak mengharapkan sebarang balasan namun terkejut apabila dihubungi Nabila yang meminta alamatnya kerana dia ingin menghantar hadiah kepada saya. “Selepas hantar Nabila dia ada minta nombor telefon, mulanya saya pun pelik juga… sehari kemudian dia hubungi minta alamat. Tak sangka pula Nabila nak hantar hadiah. Saya tolong ikhlas dan bukannya mengharapkan balasan. Apabila saya terima bungkusan tersebut, saya terkejut sebab banyak juga duit raya yang diberikan,” katanya ketika dihubungi pada petang Selasa.

Bercerita kejadian ditahan Nabila, Zakir berkata, pada awalnya dia menyangka kenderaan penyanyi itu mengalami kerosakan dan mengambil keputusan untuk berhenti kerana ingin menghulurkan bantuan. Zakir yang dalam perjalanan pulang ke rumah dari majlis berbuka puasa berkata, dia terkejut apabila Nabila meminta bantuannya menghantarnya ke lokasi dituju memandangkan jalan raya yang begitu sesak. “Dari kejauhan saya nampak ada tangan melambai dari dalam kereta. Saya berhenti sebab sangka kenderaan itu rosak… rupa-rupanya Nabila Razali minta tumpang sebab dia sudah lambat menghadiri sebuah acara.

“Saya pada awalnya tolak permintaan Nabila membonceng motosikal saya kerana motor kecil namun pengurusnya tetap meminta bantuan dan saya setuju. Jaraknya tidaklah jauh, hanya lebih kurang satu kilometer sahaja. Kata Nabila dia sudah menahan beberapa motosikal lain namun tidak ada yang berhenti,” ceritanya. Sejak Isnin, video memperlihatkan Nabila yang memakai baju kurung membonceng sebuah motosikal tular di laman sosial sehingga ramai meluahkan rasa cemburu dan menyifatkan lelaki itu bertuah.

Kejadian berlaku di Jalan Ipoh ketika Nabila dalam perjalanan ke Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2023 yang diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur. Sementara itu, Zakir berkata, dia berasa segan apabila kisahnya membantu Nabila menjadi isu sensasi dan bualan ramai. Meskipun teruja bertemu selebriti popular namun dia berharap orang ramai akan melupakan kejadian itu tidak lama lagi. “Memanglah teruja dapat jumpa artis. Walaupun dalam video yang tular itu tidak nampak muka saya, tapi ramai orang yang sudah mula bercakap. Saya takut nak jadi popular. Harap orang lupa kisah ini. Biarlah saya sahaja yang ingat,” jelasnya.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.