Nama sekali lagi perhatian ramai, tular video Lamborghini Syamsul Yusof berasap dekat tepi jalan

NAMA pengarah Syamsul Yusof sekali lagi menjadi perhatian warganet apabila kereta mewah jenis Lamborgini miliknya dirakam berasap di tepi jalan. Menerusi video yang tular di TikTok, Lamborghini berwarna kuning itu tiba-tiba mengeluarkan asap tebal ketika berada di Jalan Sultan Ismail Kuala Lumpur sehingga menarik perhatian orang ramai. Kenderaan itu dipercayai milik Syamsul apabila pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu dilihat keluar daripada kenderaan tersebut untuk memeriksa keadaan kereta mewah kesayangannya itu. Klik sini untuk lihat video.

Video berdurasi 11 saat yang dimuat naik pengguna TikTok dikenali sebagai @cmfavorite atau Syaza itu memperlihatkan Syamsul yang memakai baju kemeja dan bertopi tenang ketika keluar daripada keretanya. “Lambo (Lamborghini) abang Sol (Syamsul) berasap ke tu?,” tulisnya pada bahagian kapsyen video berkenaan. Sementara itu, seorang lagi pengguna TikTok @iema7386 pula mendedahkan dia sempat bertemu dengan Syamsul sebelum kejadian keretanya berasap. Menerusi video yang dikongsi, Syamsul yang sedang berhenti di lampu isyarat kelihatan sedang memeriksa sesuatu pada keretanya seolah-olah sudah mengesan masalah pada kenderaan tersebut.

Syamsul yang membuka bumbung kenderaan tersebut dilihat bersama seorang kenalannya di bahagian penumpang sempat melayan permintaan peminat bermotosikal yang ingin berswafoto dengannya. “Sebelum kejadian… Dah perasan Syamsul macam tengah tengok dekat dalam kereta dia. Mungkin masa tu ada keluar lampu amaran pada meter kereta. “Dalam masa yang sama sempat melayan peminat untuk berselfie,” katanya. Usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Syamsul berhubung insiden itu bagaimanapun tidak berjaya apabila pengarah itu tidak menjawab panggilan yang dibuat kepadanya.