Lepas beberapa kali tertangguh, Azri Iskandar akui jadi kahwin dengan Dr Azra tahun ni

SELEPAS beberapa kali tertangguh, pelakon Azri Iskandar beri bayangan bakal mendirikan rumah tangga dengan tunangnya iaitu Dr Azra Diera pada tahun ini. Azri atau Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar, 55, berkata, dia sebenarnya mahu menamatkan zaman duda secepat mungkin dan tidak akan merahsiakan perkara itu sekiranya sudah mempunyai tarikh. “Kami jadi kahwin, nanti saya beritahu bila hari bersejarah itu. Insya Allah tahun ini… kami memang rancang nak kahwin seawal mungkin. “Sebelum ini saya ada kongsi punca majlis kami tertangguh disebabkan faktor kewangan… Saya akan beritahu kamu (media) semua apabila sudah ada tarikhnya,” katanya kepada mStar.

Azri berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Tiga Drama Hebat Astro yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Selasa. Dalam pada itu, aktor berkenaan turut memaklumkan dia bakal membuat majlis kenduri secara sederhana sekadar untuk berkongsi hari bahagianya bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat. “Walaupun sudah tua saya tetap akan buat majlis tapi sekadar kenduri kecil-kecilan… Nak bersanding mungkin tidak rasanya. “Majlis akan dibuat sederhana, sekadar meraikan keluarga dan rakan-rakan untuk memaklumkan kami sudah mendirikan rumah tangga,” ujarnya.

Ditanya hubungan dengan bekas isteri, Azri memberitahu mereka semakin akrab berbanding sewaktu bergelar suami isteri. “Saya dengan Ellie baik… rasanya lebih baik daripada dalam perkahwinan dulu. Saya berhubung dengannya kerana anak dan kami tidak berkira tentang soal kewangan. “Ini merupakan kali kedua saya gagal dalam rumah tangga. Saya tetap baik, begitu juga dengan perkahwinan pertama. “Saya beri nafkah semampu yang saya boleh… memanglah ada waktu-waktu yang terlepas bayar tetapi bila ada projek (lakonan) saya akan bayar semula,” katanya.

Sebelum ini, ketika dihubungi, Azri memberitahu dia terpaksa menunda tarikh perkahwinannya bersama Azra selepas wang dikumpul untuk majlis tersebut masih belum mencukupi. Selain isu kewangan, Azri berkata dia dan pasangannya kini sedang sibuk menguruskan hal kerja masing-masing. Pada 29 Jun tahun lalu, Azri mendedahkan dia sudah bertunang dengan kekasihnya dikenali sebagai Dr Azra di kediaman wanita itu di Kangar, Perlis. Pasangan ini sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun lalu.

Untuk rekod, Azri dan Ellie berpisah talak satu pada 17 Mei tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14. Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.