Nak bagi 3 biji motor sebagai bayaran saman, Hidayah tolak cara pembayaran tu sebab nak hutang dijelaskan dengan wang ringgit

Masalah antara balu kepada pelawak terkenal, Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali dengan adik iparnya, Ali Puteh masih lagi belum selesai. Sebelum ini, Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan telah menyangkal dakwaan tidak berusaha membayar tuntutan saman yang harus dilunaskan kepada Hidayah. Menerusi laporan sebelum ini, dia menyatakan mahu membayarnya menggunakan tiga buah motosikal namun ditolak oleh pihak kakak iparnya. Susulan daripada itu, menerusi kenyataan Hidayah sewaktu dihubungi, dia mengakui memang menolak bayaran menggunakan kenderaan seperti motosikal kerana hutang perlu dijelaskan dengan wang ringgit bukannya dengan barang.

“Ya, benar. Saya menolak cara pembayaran Pihak Sana disebabkan mereka ingin membayar dengan mengunakan ‘KENDERAAN SEPERTI MOTORSIKAL’. Saya tidak menerimanya, hal ini kerana hutang perlu dijelaskan dengan ‘WANG RINGGIT’, bukan barang atau selain daripada itu dan saya tidak menggunakan motorsikal tersebut. Sedangkan motosikal yang ingin diberikan kepada saya seperti RXZ, 125Z dan Y15, wajarkah? Hutang ini bukan seperti sistem barter yang boleh dibuat pertukaran barang tanpa melibatkan mata wang. Persoalannya adalah mengapa dan kenapa pihak sana tidak mahu menjual terlebih dahulu motosikal tersebut, dan wang tunai tersebut diberikan kepada saya untuk menyelesaikan hutangnya ?

Mengapa dan kenapa perlu memberi motosikal tersebut kepada saya dan saya pula yang perlu menjualnya untuk mendapatkan wang tunai?” ujarnya. Ditanya tentang kenyataan Ali yang mendakwa pernah membuatkan rujukan terlebih dahulu kepada peguam berhubung bayaran secara aset ini, Hidayah menjelaskan bahawa peguamnya tidak memberikan apa-apa persetujuan pun. Usahawan itu memaklumkan yang dia sama sekali tidak akan menerima sebarang bayaran secara barter kerana tuntutan tersebut perlu dijelaskan dalam bentuk wang ringgit.

“Ya, benar. Tetapi peguam saya tidak memberi apa-apa persetujuan kerana seperti yang saya jelaskan diatas, hutang ini perlu dijelaskan dengan ‘WANG RINGGIT’. Dan hutang ini bukan sistem barter yang boleh dibuat pertukaran barang tanpa melibatkan mata wang. Seperti yang sedia maklum, saya telah menang kes saman tersebut dan pihak sana perlu menyelesaikan hutang yang berjumlah RM76,000. Walau bagaimanapun, saya tidak akan menerima apa-apa bayaran hutang melalui sistem barter seperti kenyataan saya yang diatas.

“Pihak sana perlu melangsaikan hutang tersebut dengan menggunakan wang ringgit dengan kadar segera. Mahkamah telah mengarahkan pihak sana bagi menyelesaikan hutang kemenangan saman. Didalam surat juga telah dinyatakan bahawa pihak sana telah diberi masa yang sepatutnya untuk membayar saman kepada saya. Akhir kata, bagi menyelesaikan perkara ini Ali perlu segera bersemuka dengan peguam saya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hidayah turut menjelaskan berkenaan kenyataannya sebelum ini yang menggesa kakak kepada Ali iaitu Sharifah Norwahidah untuk menjelaskan hutang berjumlah RM2,000 kepadanya dalam hantaran di Instagram. “Kakak Ali telah membuat satu permohonan Surat Kuasa Mentadbir Harta Simati iaitu arwah suami saya tetapi telah ‘DITOLAK’ oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pada tarikh 28 Julai 2021 Mahkamah telah mengeluarkan perintah sebanyak RM2,000 yang perlu dibayar kepada saya tetapi sehingga kini pada tahun 2023 masih juga belum dibayar. Saya berharap dia (kakak Ali) dapat membayar dengan kadar segera,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Hidayah telah memuat naik satu hantaran di media sosial dengan meminta agar Ali Puteh menjelaskan tuntutan saman yang berjumlah RM76,167.28 yang masih belum dilangsaikan selepas melihat perniagaan sambal petai pelawak berkenaan laku keras di media sosial. Menurut Hidayah, sudah lebih setahun adik iparnya itu belum membuat bayaran dan meminta agar Ali tidak melupakan tentang saman tersebut.

Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.