Premis jaja manisan Arab Bukit Bintang diarah tutup serta merta

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan tutup serta-merta terhadap premis menjaja khunafa dan manisan Arab di Bukit Bintang, semalam.Hasil daripada pemantauan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen yang sah untuk sebarang aktiviti menjaja selain dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah.

DBKL dalam hantaran di Facebook berkata, pihaknya melalui Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah menjalankan pemantauan di premis tersebut.

Kami mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL untuk sebarang aktiviti menjaja. Premis tersebut hanya mempunyai Lesen Hiburan Semasa (promosi luar bangunan) selain aktiviti perniagaan tersebut turut dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah,” katanya.

Tambah hantaran itu, susulan pemantauan dibuat, satu notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK3 (1) UUK Pelesenan Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dari DBKL.

Premis tersebut turut diambil tindakan tutup serta-merta (SEALED) di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.

Mengulas lanjut, dalam operasi yang sama, DBKL turut menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah premis lain yang meletakkan meja kayu bulat dan kerusi di atas siar kaki di tempat awam tanpa kebenaran DBKL.

“DBKL telah mengeluarkan satu notis kompaun serta membuat sitaan terhadap kerusi meja tersebut yang telah menyebabkan halangan di tempat awam di bawah Seksyen 46 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Banggunan 1974,” katanya. Kredit Harian Metro.