Dalam diam rupanya Siti Nordiana lagukan kisah hubungan toksik

MOMENTUM perjalanan kerjaya seni Siti Nordiana terus ampuh pada graf konsisten biar ramai bakat baharu muncul seiring peredaran masa.Lebih dua dekad berkongsi bakat seawal usia 15 tahun, onak duri dilalui sepanjang tempoh itu dijadikan suntikan semangat untuk terus bertahan.

Malah baik dalam soal kehidupan mahu pun kerjaya, sisi matang wanita yang mesra disapa Nana turut dapat dilihat menerusi karya nyanyiannya. Daripada hanya menyampaikan nukilan komposer sedia ada, kini penyanyi berusia 38 tahun itu mampu menghasilkan lagu sendiri sebagai dendangan.

Begitupun, untuk single baharu genre pop balada Arah Cinta, dia meletakkan kepercayaan kepada Ikhwan Fatanna untuk mencanai seleksi galau tersebut. Katanya, selepas kejayaan Terus Mencintai dan Hatiku Milikmu, kali ini dia ingin menyampaikan semula bingkisan lagu daripada pencipta yang pernah bekerjasama dengannya.

Saya pernah membawakan lagu Ikhwan dan kali ini kami kembali bersatu menerusi lagu Arah Cinta yang diilhamkan berdasarkan kisah perhubungan toksik. Jadi Ikhwan terjemahkan kisah itu, manakala saya pula menghayati patah seni kata dengan membayangkan situasi tersebut berlaku di sekeliling saya.

Memang perhubungan toksik itu ada di persekitaran kita, sekali gus dengan membayangkan kejadian sebenar saya dapat menjiwai dendangan ini,” katanya mengenai lagu ciptaan sepenuhnya Ikhwan tersebut. Menurut Nana lagi, kekangan masa membuatkannya menyerahkan kerja penghasilan lagu tersebut kepada pihak syarikat rakaman dan komposer.

Saya sebenarnya kena bekerjasama dengan komposer lain kerana tiada masa untuk buat lagu sendiri, tambahan pula saya seorang yang inginkan kesempurnaan.

Hasilkan lagu tak boleh buat dalam tempoh singkat, sedangkan saya perlu cepat keluar dengan karya baharu. Kalau nak tunggu idea sendiri memang akan ambil masa sedikit. Jadi, saya mempertaruhkan karya komposer lain dan apabila lihat hasilnya memang menepati selera saya dan juga pendengar setia. Pada masa sama ini juga fasa kematangan,” tambah personaliti yang mudah mesra itu.

Tambah anak seni kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, kepelbagaian dalam berkarya selain inginkan variasi mendorongnya berkolaborasi tidak hanya dengan komposer sama. Saya ingin cuba pelbagai sentuhan untuk melihat bagaimana sambutan khalayak yang ternanti-nantikan lagu ini.

Sudah pasti karya seindah ini dapat menyuntik nafas baharu kepada halwa telinga ramai selepas beberapa seleksi sebelum ini adalah karya sendiri,” luahnya dalam nada teruja. Sementara itu, berkongsi lanjut mengenai Arah Cinta, akui Nana melodi melankolik memberi cabaran tersendiri, selain menguji kemampuan vokalnya.

Keunikan single kali ini tentu sahaja memberi cabaran berbeza terutama dalam menguji kebolehan vokal saya. Mungkin sudah lama orang tak mendengar saya menyampaikan dendangan ‘power ballad’, untuk Arah Cinta ini, Ikhwan nyata letakkan elemen dinamik untuk bahagian melodinya.

Dari fasa lembut ke bahagian padu yang tentunya mencabar saya untuk memberikan sepenuh tenaga memastikan melodi indah ini disampaikan dengan baik,” ulasnya. Arah Cinta terbitan Seventeen Eleven Music dilancarkan pada 4 Ogos lalu meraih perhatian peminat muzik apabila menduduki tangga nombor satu carta iTunes.

Terdahulu, beberapa single dihasilkan Nana termasuk Terus Mencintai dan Hatiku Milikmu selepas menjuarai Gegar Vaganza musim kedua (GV2) meletakkan dirinya ke tahap berbeza. Bukan sekadar menambat hati peminat dengan karya sendiri, kelebihan dimiliki meletakkan dirinya sebagai antara penyanyi lama yang kekal relevan sehingga kini.

Kejayaan lagu sentuhannya membawa pulang anugerah turut membuktikan anak seni yang pernah dilabel penyanyi kampung itu bukan calang-calang penghibur. Kredit Kosmo Online. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut