Hazama antara penyanyi yang memiliki alunan vokal tersendiri dan mampu mendendang lagu secara baik

Hazama antara penyanyi yang memiliki alunan vokal tersendiri dengan serak-serak basah dan mampu mendendang lagu secara baik mengikut gaya yang bersahaja.

Terbaharu, Hazama mendapat kepercayaan dan tanggungjawab bergabung buat pertama kali dengan band dari Indonesia, ST12 menerusi single Harapan Tak Kunjung Usai ciptaan sepenuhnya anggota ST12, Pepep.

Ketika ditemui baru-baru ini, ST12 yang dibarisi Pepep sebagai pemain dram dan Indra (bass) ketika ditanya sejauh mana mengenali Hazama secara peribadi, mengakui mereka lebih tahu lagu yang dinyanyikan penyanyi lagu Peneman itu berbanding siapa dia. Bagaimanapun, Hazama tidak berkecil hati kerana baginya lagu yang lebih dikenali daripada penyanyi itu adalah satu penghargaan juga dan tidak perlu menjadikan ia isu untuk diperbesarkan.

Saya okay saja. Pada saya, ia maklum balas positif dan bagus juga untuk seseorang penyanyi itu. Sebagaimana ST12 sekarang ini yang bekerjasama dengan saya. Saya melihat kerjasama ini sebagai rezeki yang memberi peluang dan ruang kepada saya untuk mula atau lebih dikenali penggemar muzik dari Indonesia. Melalui muzik boleh menyatukan dua negara,” katanya.

Hazama yang menjadi pilihan syarikat rakaman Luncai Emas untuk kerjasama itu berkata, dia mengambil masa seminggu untuk berfikir semasak-masaknya sebelum buat keputusan menerima tawaran berkenaan.

Apabila saya dihubungi pihak Luncai Emas mengenai kerjasama dengan ST12 ini, saya mohon beri masa seminggu untuk memikirkannya. Ini kerana saya mahu mengenali dengan teliti identiti muzik ST12.

Saya tidak mahu terima sesuatu tawaran itu hanya untuk menyanyi. Saya mahu impak nyanyian yang dibawa bersama ST12 ada kelainan, namun tetap kekal dengan identiti tersendiri masing-masing. Ia penting kerana setiap penyanyi itu ada identiti berbeza,” katanya.

Ditanya juga mengenai kepuasannya merakamkan single Harapan Tak Kunjung Usai itu, Hazama berkata, dia seronok kerana proses rakaman yang dibuat di Indonesia pada Ogos lalu berjalan lancar dan dipermudahkan.

Alhamdulilah, apabila saling memahami dalam muzik, kami mudah bekerjasama kerana identiti lagu ST12 itu dikekalkan. Apatah lagi, saya juga tiada masalah menyanyikan lirik Harapan Tak Kunjung Usai yang menggunakan bahasa Indonesia.

Kita negara serumpun dan saya terbuka untuk belajar dan memahami bahasa Indonesia yang pastinya mendekatkan lagi single ini untuk penggemar muzik di sana. Bagi saya, penghormatan pada karya seni itu lebih bermakna,” katanya.

Harapan Tak Kunjung Usai lebih dulu dilancarkan di Indonesia pada 5 September lalu, manakala di Malaysia pula diperkenalkan dalam satu majlis yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Berbicara mengenai persepsi penggemar muzik di negara jiran itu terhadap dirinya, Hazama berkata, dia lebih ke arah mengambil maklum balas yang baik-baik saja dan setakat ini semuanya sangat okay. Saya difahamkan penerimaan single itu di Indonesia sangat positif apabila muzik video yang dimuat naik di saluran YouTube ST12 mencecah lebih 200,000 tontonan.

Selain itu, saya juga dimaklumkan lagu ini memasuki carta muzik di Spotify dan Alhamdulillah ada sambutan yang baik. Insya-Allah antara saya dan ST12 akan menjalankan kerjasama seterusnya.

Kami ada perancangan untuk merakamkan single kedua bersama dan saya akui tertarik dengan lagu itu. Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada ST12 kerana kerjasama berterusan ini dan saya akan buat yang terbaik,” katanya. Penyanyi lagu Di Amaran Mama dan Relakan Jiwa ini juga berterima kasih kepada pendengar muzik di Indonesia yang menerima dan menyokong pembabitannya bersama ST12 yang diakui memiliki kelompok peminat tersendiri yang begitu ramai.

Mengulas pula perkembangan kariernya di persada seni hiburan tanah air, Hazama berkata, dia sekarang amat sibuk dengan pembikinan album keduanya yang masih dalam proses rakaman lagu di studio. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.