Pinggan mangkuk berlonggok dekat singki, tuan rumah terkejut tengok keadaan homestay bila bagi sewa dekat orang

SEMEMANGNYA menguji kesabaran apabila berdepan dengan individu yang tiada common sense. Bayangkan, pinggan mangkuk berlonggok di singki tidak dicuci, sampah pula bertimbun tidak dibuang. Begitulah rintihan pengusaha sebuah homestay apabila rumah yang disewakan dibiarkan dalam keadaan tidak terurus dan kotor. Luahannya turut dikongsi menerusi satu hantaran di TikTok. Berkongsi cerita, Ain (bukan nama sebenar) berkata, keluarganya mengusahakan bisnes homestay di Melaka sejak lebih setahun lalu.

Seperti kebiasaan, dia bersama ahli keluarganya akan melakukan pemeriksaan dan pembersihan selepas tetamu mendaftar keluar selepas menginap di rumah dua tingkat itu. “Apabila tetamu dah bayar, memang kita akan kemas selepas mereka dah check out. Tapi kami tak pernah dapat tetamu sekotor itu. “Banyak pinggan sudah digunakan tidak dibasuh, dibiarkan saja dalam singki. Kerusi ‘hilang’ sedangkan kalau duduk di homestay, perabot tak boleh dialihkan,” katanya.

Mengulas lanjut, gadis berusia 25 tahun itu memberitahu, kerusi di ruang meja makan ‘hilang’ dari tempat asal dan ditinggalkan di dapur. Malah katanya, meja di ruang tamu juga dialihkan dan tidak diletakkan semula di tempat asal. “Kami naik tingkat atas, ada dua tilam ‘hilang’ di bilik belakang. Rupa-rupanya mereka angkut bawa ke bilik hadapan. “Masalahnya, sudahlah tidak diletakkan semula di katilnya, dibiarkan berselerak macam tu je,” ujarnya sambil menambah tetamu tersebut menginap bersama keluarganya.

Walaupun menginap hanya untuk satu malam, Ain menggambarkan keadaan rumah sangat tunggang langgang. “Ada selonggok sisa makanan dan minuman di meja hadapan rumah, berdepan dengan kolam renang. Kenapa dah makan tak kemas? “Kita dah sediakan kelengkapan pembersihan seperti penyapu dan penyodok sampah. Plastik sampah pun ada, kenapa tak digunakan dengan sebaik-baiknya?” soalnya. Lebih menyedihkan apabila tetamu berkenaan tidak menghargai kemudahan yang mereka sediakan untuk keluarga yang datang untuk menginap.

“Kami sediakan banyak permainan untuk kemudahan kanak-kanak bermain. Selama ini tetamu yang datang sekeluarga kemaskan semula, tapi kali ini dibiarkan bersepah,” katanya. Menurut Ain, keluarganya ada bertanyakan mengenai keadaan rumah yang teruk kepada tetamu tersebut namun alasan yang diberikan begitu mengecewakan. “Dia boleh jawab ‘kami tak buat sebarang kerosakan, tak ambil satu barang pun dari homestay’. Memanglah dia tak buat macam tu, tapi tolonglah ada common sense.

“Kami tak minta tetamu bersihkan betul-betul sebab itu tugas kami. Tapi jangan kotorkan dan biarkan saja, kami hanya mahu macam mana keadaan rumah apabila masuk, begitu juga keluar. “Apabila sebut pasal terma dan syarat, baru dia minta maaf. Kami dah bagi sewa homestay murah, kami cuma minta kembalikan homestay seperti sediakala pun dah cukup. Tak susah mana,” katanya dengan nada kesal.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.