Mungkin orang luar rasa tak lengkap, Achey akui dia dan Fad kurang dapat tawaran besar di TV lepas ketiadaan Abam

Pelawak, Achey mendedahkan dirinya dan Fad kurang mendapat tawaran yang besar untuk ke kaca televisyen selepas ketiadaan rakan baik mereka, Allahyarham Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan atau lebih dikenali sebagai Abam. Ketika ditemui, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berpendapat pengurangan tawaran itu adalah disebabkan pihak produksi merasakan tidak lengkapnya kumpulan Bocey tanpa penglibatan dari tiga ahli asal. “Senang kata semenjak arwah Abam pergi menghadap illahi, saya dan Fad sememangnya kurang mendapat panggilan atau tawaran yang besar untuk karier kami khususnya di kaca televisyen.

Pendapat saya ialah mungkin pada mereka (kebanyakan pihak produksi) di luar sana merasakan Bocey itu sendiri tidak lengkap tanpa tiga ahli asal. Itu pendapat saya lah dan saya selalu bercakap pada Fad, ‘Kemungkinan kita ni tak lengkap, jadi apa yang kita hadapi sekarang ni kita kena teruskan bawa nama ‘Bocey’ ni’. Sebabnya kalau ganti dengan orang lain dia dah tak jadi Bocey dah, jadi kalau perlu berdua kita kena jalan jugalah. Sama ada kuat atau tidak kita kena cuba sebaik mungkin.” Achey berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Legacy Rider 2.0 yang diadakan di Lapangan Terbang Sungai Besi pada petang Rabu.

Ketika ditanya adakah dirinya berasa terkilan kerana kurangnya tawaran diberikan kepada Bocey? Pelakon filem Mat Tudung Begin itu berkata dia menganggap apa yang berlaku ketika ini adalah satu ujian buat Bocey dalam meneruskan legasi dalam industri seni. “Pada saya ia bukanlah satu hukuman tetapi ia lebih kepada ujian buat Bocey. Ujian untuk kami sama ada kuat ke tidak untuk meneruskan karier kami atau nak terus biarkan ia terkubur. Kita pernah lalui jerih perih dari dulu lagi untuk menaikkan nama Bocey jadi saya risau ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk kami pertahankan nama Bocey ini di dalam industri.

Dalam masa yang sama, saya yakin yang Bocey ni masih mempunyai peminat yang sangat kuat.” Sementara itu, Achey berharap agar banyak platfrom disediakan buat semua pelawak tanpa mengira populariti khususnya pelawak junior bagi membantu meneruskan legasi pelawak-pelawak dalam industri seni. “Saya rasa stesen televisyen perlu sediakan banyak program hiburan lawak untuk rantaian artis lebih-lebih lagi pelawak yang sedang meningkat naik. Kesian pada mereka juga sebenarnya sebab baru je nak meningkat naik tapi tak ada platform yang disediakan.

Kena perbanyakkan lagi walaupun sitkom tu bajet atau pun penonton dia tidaklah setinggi mana tapi kena adakan supaya mereka yang baru-baru ini ada peluang untuk menghidupkan karier seni mereka.” Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.