Niat nak belanja peminta sedekah makan, sekali nak bayar terkejut tengok harga makanan dia

BERBUAT baik sesama insan merupakan satu amalan yang mulia. Namun, ada kalanya terdapat individu yang mengambil kesempatan dan tidak bertimbang rasa di atas keprihatinan orang lain. Begitulah kisahnya untuk lelaki ini, pada mulanya berniat murni untuk membantu seorang peminta sedekah, akhirnya memakan diri. Melalui satu perkongsian di laman X, kejadian dikatakan berlaku ketika dia sedang menjamu selera di sebuah restoran nasi kandar di Ampang, Kuala Lumpur. “Bercakap tentang orang meminta sedekah ni, aku ada satu cerita. Masa tu aku tengah makan di restoran. Aku dihampiri oleh seorang pengemis ni.

“Aku cakap dekat dia, nak makan? Pergi ambil nasi dekat dalam (restoran). Dia pun masuk dalam kedai dan rupanya dia bungkus je nasi berlauk tu. Dia keluar kedai sambil bawa makanan, dia cakap dekat aku terima kasih dan terus gerak,” katanya. Selesai makan, pelanggan itu kemudian pergi ke kaunter untuk membuat bayaran, termasuk makanan yang dibungkus pengemis lelaki berkenaan. Namun, dia terkejut apabila mendapati jumlah yang perlu dibayar di luar jangkaan. “Nak bayar, terkejut aku apabila dia punya bil seorang saja RM70. Ada lauk ayam, daging, sotong dan lain-lain dalam bil tu,” katanya.

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya mengakui turut mengalami kejadian yang sama dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku. “Nampaknya selepas ni kena tahu dulu lauk apa ada dalam kedai sebelum bermurah hati nak tawar belanja. Kalau dompet tengah nipis, macam mana nak bayar kan. “Pernah kena dulu masa dekat satu pusat beli-belah terkemuka, dua warga asing minta tolong nak makan McDonald, aku pun macam okay nak tolong. Sekali dia balun (ambil) lima set, aku terus cancel. Nanti diri sendiri makan pasir.

“Aku pernah makan dekat kedai mamak, mulanya yang minta makan seorang je. Sekali datang geng dia dalam enam orang, terus bil jadi lebih RM80. Jadi selepas ni, cukup la bagi RM1 kalau nak sedekah pun. “Pernah kena macam ni juga di Taman Tun Dr Ismail (TTDI). Gerai jual makanan cucuk-cucuk, ada seorang ni minta tolong nak makan, sekali dia ambil segala sotong dan udang semua, harga terus jadi RM80,” kata sebahagian warga maya. Sumber: MStar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.