Gagal tampil bersama wakil untuk teruskan proses, Adira Suhaimi failkan perpisahan kali kedua

PENYANYI Adira Suhaimi memfailkan perpisahan terhadap suaminya iaitu Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor pada 25 Oktober lalu. Permohonan tersebut adalah kali kedua dibuat Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, terhadap Adnan selepas memfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019. Permohonan tersebut berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Dalam pada itu, sebutan kedua kes berkenaan pada pagi Isnin, Adira hadir bersama kakaknya iaitu Emma Suhaimi sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Adnan atau lebih mesra dengan sapaan Datuk Red, 42, bagaimanapun gagal tampil bersama wakil bagi meneruskan proses tersebut. Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar yang mendengar kes tersebut menegur tindakan Adnan yang dianggap sengaja melambat-lambatkan proses JKP. Sehubungan itu, Abdul Hadi menangguhkan kes berkenaan pada 18 Disember ini bagi membolehkan Adnan melantik wakil bagi pihaknya. Kemunculan Adira di mahkamah mengejutkan memandangkan penyanyi itu baru sahaja selesai membuat persembahan di peringkat akhir Famili Duo 3 (FD3) bersama Emma pada malam Ahad.

Pada pertandingan itu, Adira dilihat memberikan persembahan bertenaga tanpa memperlihatkan dia sedang berdepan dengan sebarang masalah berkaitan perkahwinannya dengan Adnan. Malah pada minggu ketiga pertandingan itu, Adnan turut hadir memberi sokongan kepada Adira dan anak perempuan mereka Anggrek yang muncul dalam persembahan ibunya. Kehadiran Adnan itu juga turut melenyapkan spekulasi rumah tangga pasangan tersebut dikatakan sedang bergolak.

Adira menerusi temu bual juga menyifatkan gosip berhubung rumah tangganya adalah lumrah sebagai seorang selebriti. Untuk rekod, Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun. Manakala perkahwinan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan lima cahaya mata. Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun berpisah selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.