Suami masih nak selamatkan rumahtangga, tak sangka rupanya ini punca Adira Suhaimi failkan untuk berpisah

SUDAH tiada persefahaman punca penyanyi Adira Suhaimi memfailkan talak buat kali kedua terhadap suaminya, Datuk Seri Adnan Abu pada 25 Oktober lalu. Peguam syarie Muhammad Akmal Amzan yang mewakili Adnan bagaimanapun memberitahu anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan dibuat isteri keduanya itu dan ingin menyelamatkan rumah tangga mereka. “Punca perpisahan tidak boleh nak beri lebih mendalam cuma saya boleh katakan tiada persefahaman di antara mereka.

“Pada sebutan pertama pada 14 November lalu, Adnan memberitahu mahkamah dia tidak bersetuju terhadap permohonan cerai dibuat Adira,” katanya. Muhammad Akmal mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui selepas sebutan kedua kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor pada pagi Isnin. Pada perbicaraan itu, pasangan berkenaan hadir bagi melantik wakil proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan sebelum ini.

Adira atau Siti Adira Suhaimi, 32, melantik kakaknya iaitu Emma Suhaimi sebagai wakil pihaknya manakala Adnan gagal membawa sebarang calon bagi proses JKP. Dalam pada itu, Muhammad Akmal memberitahu punca Adnan selaku defendan kes berkenaan gagal membawa wakil disebabkan calon berkenaan mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan. “Wakil sudah ada cuma kami baru dimaklumkan pagi tadi dia tidak dapat hadir sebab ada urusan yang tidak dapat dielakkan,” ujarnya. Susulan itu, Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes tersebut pada 18 Disember ini.

Sementara itu, usaha kami mendapatkan kenyataan daripada Adnan atau Datuk Red berhubung kes berkenaan tidak berhasil apabila dia enggan memberikan sebarang komen. Adira juga enggan mengulas lanjut namun memberitahu akan memberikan kenyataan apabila sudah bersedia. Untuk rekod, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019. Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Kemunculan Adira di mahkamah mengejutkan memandangkan penyanyi itu baru sahaja selesai membuat persembahan di peringkat akhir Famili Duo 3 (FD3) bersama Emma pada malam Ahad. Pada pertandingan itu, Adira dilihat memberikan persembahan bertenaga tanpa memperlihatkan dia sedang berdepan dengan sebarang masalah berkaitan perkahwinannya dengan Adnan.

Malah pada minggu ketiga pertandingan itu, Adnan turut hadir memberi sokongan kepada Adira dan anak perempuan mereka Anggrek yang muncul dalam persembahan ibunya. Kehadiran Adnan itu juga turut melenyapkan spekulasi rumah tangga pasangan tersebut dikatakan sedang bergolak. Penyanyi itu menerusi temu bual juga menyifatkan gosip berhubung rumah tangganya adalah lumrah sebagai seorang selebriti.

Adira dan Adnan berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun. Manakala perkahwinan bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim mereka dikurniakan lima cahaya mata. Adnan juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.