Teruk kena kritik dengan warganet sebab babak panas, tak sangka ini pula respon Alya Iman

Pelakon yang sedang meningkat naik iaitu Alya Iman mendedahkan dia bersikap terbuka sekiranya ada pihak yang memilih untuk membencinya waima meninggalkan komen berbaur kritikan terhadap karier seninya. Ketika ditemui, Alya atau nama sebenarnya Nur Alya Iman Azmil berkata, pengalamannya berdepan dengan bermacam-macam kisah duka dalam kehidupan membuatkan dirinya menjadi lebih kental untuk berdepan dengan cabaran dunia hiburan termasuklah kecaman daripada segelintir pihak. “Orang memang sudah benci saya pun. Jadi saya tak kisah apa yang orang nak cakap perkara buruk pasal saya. Siapa yang kenal saya, dia tahu siapa saya.

Walaupun usia saya baru 23 tahun, saya sudah melalui banyak pengalaman menyedihkan yang membentuk saya untuk menjadi seorang yang tabah serta kalis kritikan. Kehilangan ibu dan ayah, membesar dalam keluarga yang berantakan dan bekerja pada usia muda demi untuk menjaga arwah ayah membuatkan hati dan jiwa saya kental berdepan apa juga cabaran dalam hidup. Justeru bila ada kritikan daripada warganet, ia langsung tidak memberi kesan kepada saya. Saya tahu saya boleh hadapi semua itu dan sudah bersedia dengan apa juga cabaran yang bakal mendatang.”

Alya berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media drama ‘Layang-Layang Perkahwinan’ yang diadakan di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, pada Isnin. Dalam pada itu, pelakon yang sedang menginjak ke usia 23 tahun ini mengakui ada kalanya dia turut menitiskan air mata tatkala berdepan dengan sesetengah pihak yang gemar menghukum dirinya tanpa sebarang usul-periksa. Namun begitu, anak kepada pelakon hebat era 80-an iaitu Allahyarham Azmil Mustapha menyatakan dia tidak menyalahkan takdir atas apa yang menimpa dirinya.

“Pernah juga saya duduk menangis tapi tak adalah sampai tahap meratap nasib diri dan bertanya mengapa saya perlu melalui ujian sebegitu. Saya anggap dugaan yang saya lalui itu sebagai lumrah yang perlu dihadapi setiap insan.” Terdahulu, Alya menerima kritikan hebat daripada sesetengah warganet selepas tularnya babak didakwa berunsur separuh tak senonoh yang dilakonkannya bersama Shukri Yahaya. Ketika ditanya mengenai kontroversi tersebut, Alya mengakui dia berasa bimbang apabila mendapat tahu perlu membawakan watak tersebut.

“Masa mula-mula dapat skrip, saya tanya pada kak Eyra betulkah saya kena bawa watak ini? Ini kerana saya sedar watak itu boleh membuatkan saya dikritik. Namun sudah namanya pelakon, saya buat juga. Sebagai pelakon, saya hanya jalankan tanggungajawab mengikut skrip dan arahan. Saya tahu kejadian sebenar yang berlaku di belakang kamera. Ia tidaklah seperti yang diperkatakan (berunsur tak senonoh). Kami jaga semuanya.

Sumber: OhBulan. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.