Demi menghormati bulan Ramadan mufti saran untuk tangguh konsert, sekali ini pula respon dari Yayasan Nurjiwa

SELEPAS menerima saranan menangguhkan Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, penganjur iaitu Yayasan Nurjiwa milik penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tampil memberikan maklum balas berkenaan isu tersebut. Menerusi satu kenyataan, yayasan berkenaan menjelaskan konsert yang bakal berlangsung pada 9 Mac ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada aktiviti amal termasuk bantuan kepada masyarakat Palestin.

Menurutnya lagi, konsert yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini juga bukan dianjurkan demi mengaut keuntungan semata-mata kerana keseluruhan hasil kutipan tiket akan disalurkan kepada tujuan amal dan kebajikan. “Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan konsert ini bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak tahun 2006. Yayasan kami dan Siti sering menyebut tujuan konsert ini adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja amal termasuk kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin.

“Justeru matlamat konsert ini sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekali gus amat diyakini akan mengurangkan beban dan penderitaan sesetengah golongan termasuk saudara kita di Palestin,” katanya dalam sebuah kenyataan media. Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa juga memberitahu kebimbangan mereka sekiranya konsert tersebut ditunda bakal memberi implikasi besar kepada tenaga produksi serta pengurusan perbadanan stadium nasional. Malah, pihak mereka turut menyatakan kegusaran sekiranya dana yang sepatutnya disalurkan dengan kadar segera kepada rakyat Palestin terpaksa ditangguhkan.

“Dalam masa yang sama, Yayasan Nurjiwa ingin menjelaskan sekali lagi penundaan konsert ini akan memberikan implikasi yang besar pada banyak pihak khususnya tenaga produksi dan pengurusan berbadanan stadium nasional. Bahkan apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disalurkan dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin,” ujarnya. Menyedari konsert itu diadakan menghampiri tarikh 1 Ramadan, penganjur menjelaskan hanya tarikh berkenaan tersedia untuk disewakan.

“Pada sidang media 8 Januari lalu, sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh perbadanan stadium nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti sedia maklum bahawa tarikh 9 Mac menghampiri 1 Ramadan. Kami juga diberitahu bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2023 yang boleh ditawarkan kepada kami. Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan sejak awal 2023 namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang iaitu Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd menasihatkan Siti agar menunda Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang dijadualkan berlangsung pada Mac ini kepada satu tarikh lain. Kata Wan Salim, mengadakan aktiviti hiburan menjelang bulan Ramadan seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah. Wan Salim bagaimanapun mengakui masih belum mendapat informasi penuh berkenaan konsert penyanyi berkenaan.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.