Pengemis kantoi miliki proton X70, sekali elaun individu ni dihentikan oleh KPWKM

Elaun pengemis miliki Proton X70 dihentikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Menurut laporan Berita Harian, Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan lelaki yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu turut diberikan amaran dan perlu melengkapkan surat aku janji untuk tidak mengemis. “Siasatan mendapati dia bekerja sebagai penyelia syif di sebuah syarikat bas dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan. Justeru, beliau tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat),” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu tindakan KPWKM dan JKM terhadap seorang OKU penerima bantuan JKM, namun mengemis dan memiliki kenderaan Proton X70 seperti tular di media sosial baru-baru ini. Difahamkan, pengemis yang mengalami kecacatan pada kedua-dua tangannya itu dikatakan meraih sehingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil daripada pemberian orang ramai di pasar malam. Bagaimanapun, perbuatan itu akhirnya terbongkar oleh JKM Maran pada Februari lalu.

Jelas Noraini lagi, Akta Orang-Orang Papa 1977 tidak mempunyai hukuman punitif bagi golongan yang tertakluk di bawah perundangan itu mengeksploitasi kekurangan diri untuk menjana kemewahan. Kementerian sedang menyemak semula Akta Orang-Orang Papa 1977 untuk melihat semula akta berkenaan secara komprehensif bagi menambah baik pengendalian isu orang papa dan gelandangan.

“Betul, akta ini tidak ada peruntukan berbentuk punitif kerana asasnya berprinsipkan kebajikan. Dalam konteks kebajikan, objektifnya ialah memulihkan seseorang yang berada dalam kesukaran apabila boleh membantu kembali berdikari. Kajian ke atas Akta Orang-Orang Papa 1977 dilaksanakan selama 21 bulan dan dijangka siap pertengahan tahun ini manakala dapatan akhir akan dibentang kepada kementerian. Skop kajian ialah mengenal pasti peruntukan sedia ada, membuat kajian perbandingan antara akta berkenaan gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar di negara lain, mengadakan sesi libat urus serta konsultasi termasuk juga membantu kementerian dalam penyediaan regulatori impak analisis.

Kajian itu akan menghasilkan syor sama ada wujud keperluan penggubalan akta baharu dan mengenal pasti peranan kementerian. Matlamatnya ialah menyediakan cadangan kepada kerajaan mengenai kandungan, pendekatan dan skop undang-undang serta pelan tindakan ke arah inisiatif pengendalian isu gelandangan, pengemisan dan kemiskinan bandar,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.”

Sumber: Omm. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.