Suami pula yang kena tanggung perbelanjaan anak, Fatin Afeefa minta bekas suami jalankan tanggungjawab dengan sempurna

PELAKON Fatin Afeefa meminta bekas suaminya iaitu pelakon Adam Shahz menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada anak perempuan mereka dengan sempurna. Fatin atau Fatin Nur Afifah Shamsudin, 30, berkata, walaupun Adam tidak pernah culas membayar nafkah untuk anak mereka namun mengabaikan keperluan tambahan lain seperti yuran persekolahan. “Adam tak culas bayar nafkah anak setakat ini cuma saya geram apabila dia enggan membayar yuran sekolah anak.

Dia cuma beri RM100 untuk beli baju koperasi dan yuran lain saya bayar sendiri sebanyak RM3,500. Memandangkan perkara ini sedang dalam perbicaraan (tuntutan nafkah) dia kata biar pihak mahkamah tentukan,” katanya. Fatin meluahkan perkara itu ketika ditemui selepas sebutan kes tuntutan nafkah anak perempuan mereka iaitu Ivy Herra Sophia, 9, yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Isnin. Dalam pada itu, Fatin mendedahkan suaminya iaitu Aliff Awang yang mengambil tanggungjawab sebagai bapa selain membayar segala perbelanjaan Ivy walaupun itu bukan tanggungjawabnya.

Fatin memberitahu walaupun Aliff menganggap Ivy seperti anak sendiri namun dia merasakan perkara itu tidak adil buat suaminya. “Bagi saya tak adil perbelanjaan Ivy bapa tiri yang bayar semuanya. Walaupun suami tiada masalah sebab sayangkan Ivy tapi sebagai isteri saya rasa itu tidak adil. Akhirat kelak takkan nak jawab bapa tiri rela hati bayar perbelanjaan anak?,” soalnya.

Dalam perkembangan lain, kes yang dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Muhamad Nazri Basrawi itu akan disambung pada pada 27 Ogos dan 2 September depan. Fatin diwakili peguam syarie Aiman Abdul Rahman dan Ahmad Hazieq Roshali manakala Adam pula diwakili Liyana Sihar. Untuk rekod, Fatin memfailkan tuntutan nafkah terhadap Adam pada Ogos tahun lalu.

Sebelum itu, Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 43, memfailkan permohonan mendapatkan hak lawatan dan bermalam bersama anak perempuannya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Fatin bagaimanapun memfailkan bantahan terhadap pemohonan pindaan tersebut selepas dia diberi hak penjagaan sementara terhadap anak mereka pada 15 Ogos 2023. Selain Ivy, Fatin turut mempunyai seorang anak lelaki iaitu Adam Aisy Arrian yang kini berusia 11 tahun hasil perkahwinan terdahulu.

Untuk rekod, Adam dan Fatin melangsungkan perkahwinan pada 21 Disember 2013 namun mereka berpisah empat tahun kemudian. Aktres itu kembali berumah tangga dengan Aliff pada Disember 2022. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.