Kekal sihat walupun dah usia 80 tahun, rupanya ini rahsia Ruminah Sidek

Advertisements
Advertisements

Pelakon veteran, Ruminah Sidek berkongsi rahsia kesihatannya yang masih kekal cergas dan sihat meskipun telah mencecah usia 80 tahun. Ruminah atau mesra disapa Mak Mah, berkata, salah satu amalan yang diamalkannya sejak kecil adalah tidak mengambil minuman berkafein seperti teh atau kopi.

“Ramai rakan sebaya saya mengadu sakit kepala, sakit kaki, tapi Alhamdulillah saya masih sihat. Mungkin sebab saya tak pernah minum teh atau kopi, dari kecil sampai sekarang, saya hanya minum air oren saja. Satu lagi, ramai orang elak minum air sejuk, saya minum je, tak ada masalah pun. Tapi apa-apa pun, semua saya serahkan kepada Allah.”

Mak Mah berkata demikian ketika ditemui di malam gala tayangan filem Indera yang berlangsung di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambah Mak Mah, dia juga tidak terlalu bergantung kepada ubat-ubatan moden walaupun telah disahkan menghidap darah tinggi dan kencing manis oleh doktor. Jelasnya, dia lebih selesa mengamalkan pemakanan sihat dan mengelak daripada mengambil terlalu banyak ubat.

“Saya memang tak makan ubat, jadi jahat sikit. Sebab terlalu banyak, sampai tujuh biji nak kena telan. Saya jaga pemakanan saja, makan makanan orang Jawa yang ditumis air, bukan lauk berat-berat. Dulu anak-anak tegur juga, tapi sekarang mereka pun dah malas nak cakap.” Mengulas lanjut, Mak Mah berkata dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada ketentuan Allah dalam soal kesihatan dan kehidupan.

“Keyakinan saya kepada Allah sangat kuat. Tapi bukan bermakna saya tunggu sakit teruk baru nak buat sesuatu. Cuma kadang-kadang bila fikir balik, kita pun tak tahu apa sebenarnya kandungan dalam ubat moden sekarang.” Dalam perkembangan terkini, Mak Mah membintangi filem Indera yang telah menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia sejak 7 Ogos lalu. Selain Mak Mah, filem Indera terbitan Greenlight Pictures, Lomo Pictures serta GSC Movies turut dibintangi Shaheizy Sam, Azira Shafinaz, Samara Kenzo dan ramai lagi.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.