SELEPAS lapan hari berlayar, penyanyi Zizi Kirana memaklumkan dia bersama ahli kumpulan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Tunisia malam Ahad. Menurut Zizi atau Nur Fazelah Mad Tahil, 40, ketibaannya di negara Afrika Utara itu disambut dengan laungan azan yang cukup menyentuh hati. “Alhamdulillah sampai Tunisia. Saya keluar ke bahagian atas kapal dan terdengar laungan azan ‘Allahuakbar Allahuakbar’.
“Ya Rabb, Penolong, Pelindung dan Penjaga kami satu-satunya,” katanya. Zizi berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya yang turut memaparkan foto pemandangan di Tunisia. Namun begitu, penyanyi lagu Eh! itu mengakui perasaan gugup mula menyelubungi apabila mereka bakal memasuki perairan antarabangsa dalam masa terdekat. Katanya ketika itu dia bersama rakan-rakannya berkemungkinan sukar untuk berkongsi perkembangan pergerakkan mereka kerana perlu sentiasa berwaspada.
“Semakin dekat dengan Tunisia sebenarnya semakin mendebarkan kerana tak lama lagi kami akan masuk ke perairan antarabangsa dan boleh kata Red Zone. Jadi mungkin ketika itu agak susah kami nak update atau live kerana kami perlu sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku. Apa-apa pun saya sangat terharu dengan semangat, doa dan sokongan dari kalian semua. Tolong sebarkan pada satu dunia ini adalah misi bukan keganasaan,” luahnya.
Pada 31 Ogos lalu, Zizi menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza bersama beberapa aktivis dari Malaysia sebelum berlayar melalui Laut Mediterranean dengan puluhan kapal yang turut disertai oleh 44 negara lain. Kata Zizi, dia bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk kematian sekiranya ditakdirkan tidak kembali ke tanah air selepas misi tersebut.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.