SUSULAN kecaman diterima mengenai video gender reveal (pendedahan jantina bayi), pelakon dan penyampai radio Neera Azizi mengakui tersilap langkah dan tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut. Bukan berniat menegakkan kesalahan, sebaliknya Neera atau Nurazneera Azizi, 27, menjelaskan dia tidak sedar cara yang digunakan dilihat kurang beradab.
“Assalamualaikum. Hadir dengan rendah diri, saya ingin memberi penjelasan berkenaan isu ‘gender reveal’ yang hangat diperkatakan baru-baru ini. Pada awalnya, tujuan video tersebut hanyalah sebagai tanda syukur atas kurniaan anugerah Allah SWT dan tidak mempunyai niat lain selain itu. Ini tidak bermakna kami ingin menegakkan kesalahan yang telah berlaku. Tanpa disedari, kaedah yang digunakan dilihat kurang beradab,” katanya.
Neera berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada petang Rabu. Dalam pada itu, Neera menjelaskan dia menerima setiap teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai nasihat yang baik. Malah, Neera menegaskan kekhilafan ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak agensi pelancongan dan sepenuhnya merupakan kesilapan diri sendiri.
“Kami amat menghargai teguran yang diberikan dan menerimanya dengan hati yang terbuka, serta menganggapnya sebagai nasihat yang baik. Insya-Allah, kekhilafan ini tidak akan berulang lagi. Saya juga ingin menegaskan bahawa isu ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak travel agency dan merupakan kekhilafan diri sendiri. Akhir kata, saya hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Semoga Allah SWT mengampuni dosa setiap daripada kita,” jelasnya.
Sebelum ini, tindakan Neera berkongsi momen gender reveal itu menimbulkan kecaman sesetengah warganet kerana dilakukan di hadapan Kaabah iaitu tempat ibadah yang dianggap sangat suci dan seharusnya dijaga adabnya. Beberapa komen di media sosial menyatakan ketika berada di Tanah Suci Makkah, umat Islam patut memelihara adab, doa, dan tumpuan kepada ibadah, dan bukannya menjadikannya latar untuk membuat kandungan hiburan.

Video asal yang dimuat naik telah dipadamkan oleh Neera daripada Instagram selepas timbulnya pelbagai reaksi daripada warganet. Untuk rekod, Neera mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Hafizi Mohd Noor pada 11 Julai lalu. Pasangan ini dijangka menerima cahaya mata perempuan pada April tahun depan. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.