BAKAL berentap di pentas Gegar Vaganza Fantasia (GVF), pasangan suami isteri Akim dan Stacy sepakat untuk menjaga kesihatan mental masing-masing sepanjang menyertai pertandingan itu. Akim atau Afiq Hakim Ahmad, 35, mengakui perkara itu penting memandangkan mereka bakal bersaing antara satu sama lain dalam program realiti berkenaan.
Bagaimanapun, dia berharap apa juga perselisihan atau ketegangan yang berlaku sepanjang pertandingan tidak menjejaskan hubungan rumah tangga mereka, termasuk tidak tidur berasingan. “Saya harap dia tidak kacau mental saya. Kalau boleh, dia jaga mental saya. Kita kena duduk satu katil juga tak kira apa. Tapi saya bersyukur dan gembira apabila diundi masuk,” katanya.
Penyanyi lagu Mewangi itu berkongsi perkara tersebut selepas konsert minggu kedua GVF. Dalam pada itu, Akim berkata mereka sudah membuat persiapan awal bagi memastikan urusan penjagaan anak tidak terjejas sepanjang kedua-duanya sibuk dengan pertandingan tersebut.
Menurutnya, sebelum menerima tawaran menyertai GVF, mereka terlebih dahulu berbincang dengan ahli keluarga bagi mendapatkan pendapat mengenai pengurusan anak-anak. “Insya-Allah, sebelum membuat keputusan untuk menerima tawaran ini, kami sudah berbincang dengan keluarga sama ada mereka boleh memberikan komitmen untuk membantu. “Alhamdulillah, semua memberikan sokongan yang kuat. Saya sangat bersyukur kerana ibu mentua sendiri menawarkan diri untuk membantu menjaga anak-anak,” ujarnya.
Sementara itu, Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 36, turut meluahkan rasa lega apabila urusan penjagaan anak-anak dapat dibantu oleh ahli keluarga sendiri. Katanya, dia lebih selesa sekiranya anak-anak berada di bawah pengawasan individu yang rapat dengan mereka sepanjang tempoh pertandingan. “Bukan tak mahu panggil orang untuk tengokkan, cuma apabila kita tinggalkan anak-anak, kalau boleh biarlah orang yang rapat atau ahli keluarga sendiri yang membantu memantau mereka.
Jadi, itu antara sistem sokongan terbesar yang membolehkan kami menyertai GVF,” jelasnya. Sebelum ini, Akim meraih undian tertinggi sekali gus melayakkan dirinya berada di kerusi panas bersama tiga peserta lain iaitu Farah Anuar, Felix dan Ara Johari. Penyertaan mereka itu sekali gus bersaing dengan alumni program Akademi Fantasia (AF) lain seperti Mawi, Vince, Faizal, Shahir, Mila Jirin, Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.
Program realiti itu dikendalikan oleh Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Jihan Muse, manakala Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang serta Datuk Syafinaz Selamat bertindak sebagai juri. GVF bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.