Umum memang kita ketahui bahawa makanan diproses dan makanan segera sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan 70 peratus kematian di seluruh dunia pada hari ini adalah disebabkan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). NCD termasuklah penyakit berkaitan kardiovaskular, kans3r, sakit pernafasan dan diabetes yang disebabkan oleh diet dan gaya hidup tidak sihat. Pakar Perunding Endokrinologi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Teoh Wei Leng berkata, antara penyumbang terbesar kepada peningkatan angka itu adalah semakin ramai yang gemar mengambil makanan segera atau diproses kerana ia lebih mudah dan cepat disediakan. Dr Teoh memberitahu makanan jenis ini biasanya mengandungi bahan-bahan seperti pewarna, pengawet, pemanis, penstabil dan pengemulsi.
Pengambilan makanan yang diproses secara berlebihan boleh menyebakban pelbagai masalah termasuk obesiti. “Disebabkan rasanya yang enak dan faktor ia menjimatkan masa, kebanyakan orang mengambil makanan ini tanpa memberi perhatian serius terhadap kesan buruk kepada kesihatan mereka. Apatah lagi makanan jenis ini lebih murah, mudah dan sedap,” katanya. Secara umumnya kata Dr Teoh, terdapat empat jenis kumpulan makanan berdasarkan cara ia diproses, iaitu;
Antaranya ialah tidak diproses atau diproses secara minimum, contoh buah, bijian, batang, akar, daun, telur, daging, susu, organ dalaman, cendawan, alga dan bijirin. Bahan masakan yang diproses, contoh gula, garam, mentega, minyak, cuka. Makanan yang telah diproses contoh, makanan yang diperam, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam tin, kacang masin, daging, keju yang diproses dan roti yang baru dibuat yang tidak dibungkus. Makanan dan minuman yang diproses berlebihan contoh ais krim, sosej, kerepek, roti yang dihasilkan secara besar-besaran, bijirin sarapan pagi, minuman berkarbonat, yogurt/minuman berperisa buah-buahan, sup segera dan beberapa minuman beralkohol seperti wiski, gin dan rum.
Celeste Lau dan Dr Teoh Wei Leng.
Pengurus Kanan Dietetik Pusat Perubatan Sunway, Celeste Lau memberitahu makanan yang diproses pada asasnya dibuat dengan hanya menambah gula, minyak, garam atau bahan lain manakala makanan diproses berlebihan sebaliknya merupakan makanan yang mengandungi banyak bahan tambahan seperti lemak tepu, gula dan garam tambahan, perasa, pengawet, agen pemekat atau penstabil, dan sebagainya. Pemprosesan makanan bagi makanan yang diproses berlebihan juga mungkin melibatkan pemanasan pada suhu tinggi yang boleh mungkin menjejaskan struktur makanan itu sendiri. “Setiap kumpulan makanan yang diproses mempunyai tujuan tersendiri dan tidak semua makanan yang diproses adalah tidak sihat.
Selagi nilai pemakanan dalam makanan tidak berubah, tidak mengapa untuk dimakan. “Walau bagaimanapun, makanan diproses berlebihan secara amnya mengandungi gula, garam dan lemak yang diproses pada kadar lebih tinggi, justeru secara tidak langsung boleh meningkatkan tahap insulin dan membuatkan kita makan dengan lebih banyak, sekali gus menyebabkan ia diambil secara berlebihan,” jelasnya. Tambah Dr Teoh, pengambilan makanan dan minuman yang diproses berlebihan dengan kerap boleh menyebabkan obesiti. Obesiti boleh menyebabkan gangguan sindrom metabolik seperti obesiti perut, diabetes, darah tinggi, tahap trigliserida yang tinggi, dan tahap kolesterol HDL yang rendah. Keadaan kesihatan sebegini boleh meningkatkan risiko sakit jantung dan strok.
Demi hidup lebih sihat kita perlu mengurangkan pengambilan makanan diproses dan menggantikan dengan buah dan sayuran.
“Pemerhatian ini telah disahkan dalam pelbagai kajian, yang menunjukkan bahawa orang yang banyak mengambil makanan diproses berlebihan mempunyai kadar obesiti yang lebih tinggi, kualiti pemakanan yang lebih buruk dalam diet mereka, pengambilan natrium dan gula yang lebih tinggi, serta pengambilan serat, bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran yang lebih rendah. Hal ini boleh meningkatkan risiko untuk menghidap diabetes jenis 2,” terangnya. Buku panduan yang diperkenalkan oleh Sunway Healthcare Group iaitu “Know Diabetes” juga mengesyorkan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya serat dan mengehadkan gula tambahan dalam diet seseorang boleh membantu mengawal diabetes.
Obesiti, diabetes dan peningkatan risiko sakit jantung
Pakar Perunding Kardiologi di Pusat Perubatan Sunway, Dr Patrick Tiau pula menjelaskan pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti turut berdepan dengan risiko menghidap sakit kardiovaskular lain yang boleh mempercepatkan proses pengumpulan lemak, kolesterol dan bahan lain dalam dinding arteri. “Apabila bercakap mengenai diabetes, penghidap diabetes lebih cenderung untuk menghidap sakit kardiovaskular berbanding yang lain kerana diabetes mellitus, atau kadar gula dalam darah yang tinggi boleh menyekat dan merosakkan saluran yang membawa darah ke jantung, menyebabkan jantung kekurangan oksigen dan bekalan darah.
“Apabila jantung anda tidak dapat mengepam darah dengan baik, ia boleh menyebabkan keletihan, kesukaran bernafas dan kaki bengkak. Kegagalan jantung cenderung menjadi lebih teruk dari masa ke masa, tetapi diagnosis dan rawatan awal boleh memperbaiki gejala dan melambatkan perkembangan sakit.
Ibu bapa perlu mendidik tabiat pemakanan anak-anak sejak kecil.
“Sebagai contoh, daging yang diproses telah diklasifikasikan sebagai karsinogenik oleh Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC). Apabila dimakan, nitrit boleh ditukar kepada bahan kimia yang menyebabkan kanser, contohnya sebatian N-nitroso atau NOC. “Karagenan dan carboxymethylcellulose (CMC) iaitu agen pemekat yang biasa digunakan telah dikaitkan dengan keradangan usus yang kesannya boleh meningkatkan risiko kanser kolorektal,” katanya.
Disebabkan perkara itu, Doktor memberitahu tabiat gaya hidup sangat penting dan perlu ditanam sejak awal oleh ibu bapa kepada anak-anak agar masalah ini dapat dielakkan. Dengan menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat di rumah, ibu bapa dan setiap indvidu boleh memastikan mereka dapat membuat pilihan makanan yang lebih baik untuk diri mereka dan ahli keluarga. “Contohnya, menggantikan biskut dengan roti yang baru dibakar dan keju, jus oren yang manis dengan buah itu sendiri dan makanan segera dengan makanan yang telah dimasak sendiri sendiri dalam kuantiti yang banyak dan dibekukan untuk hari-hari yang sibuk,” ujarnya. Sumber, mstar