Kuala Lumpur: Terdapat beberapa faktor iaitu enjin pesawat tiba-tiba tidak mengeluarkan tujahan, ketidakseimbangan pesawat dan kawalan pesawat tergendala boleh menjadi penyebab pesawat hilang kawalan. Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology, Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, ada beberapa faktor yang mungkin menyebabkan pesawat hilang kawalan. Menurutnya, antaranya adalah engine flameout iaitu keadaan di mana enjin pesawat secara tiba-tiba tidak mengeluarkan tujahan dan jika salah satu enjin mengalami keadaan sebegini, pesawat akan berputar pada paksi tertentu.
“Lazimnya orientasi pesawat dapat dibetulkan kerana satu lagi enjin berfungsi tetapi jika pesawat berada pada ketinggian yang rendah, ada kemungkinan orientasi pesawat tidak dapat dibetulkan pada masa yang singkat. “Satu lagi faktor ialah ketidakseimbangan pesawat kerana pusat gravitinya adalah di luar sampul keselamatan,” katanya kepada Harian Metro. Mohd Haridon berkata, setiap pesawat ada pusat gravitinya dan adalah penting untuk memastikan pusat graviti pesawat berada pada julat yang ditetapkan oleh pengeluar pesawat.
“Selalunya overloading atau loading yang tidak sempurna akan membuatkan pusat graviti pesawat berada di luar sampul keselamatan. “Kita perlu menyiasat sama ada kargo-kargo pesawat diletakkan secara betul dan optimum serta sama ada jumlah berat kargo terbabit adalah tidak melebihi had yang telah ditetapkan oleh design limit atau limitasi rekaan,” katanya. Beliau berkata, faktor lain yang perlu diambil kira adalah kawalan pesawat tergendala iaitu control freeze di mana elevator pesawat secara tiba tiba tidak berfungsi. “Selain itu, input juruterbang pada komponen-komponen lain pesawat, seperti aileron, tidak mendapat reaksi yang sepatutnya dari pesawat.
“Kita perlu melihat data-data dari kotak hitam pesawat untuk menilai sama ada pesawat mengalami kegagalan sistem kawalan,” katanya. Katanya, jika ada kegagalan sistem, nilai-nilai pada data terbabit adalah tidak nominal dan itu membolehkan pihak berkuasa membuat kesimpulan akan julat masa kegagalan itu. “Perlu diingat bahawa segala kemungkinan ini perlu disertakan dengan bukti-bukti yang utuh untuk memastikan unjuran ini adalah tidak berbentuk spekulasi semata-mata. “Dengan itu, pengumpulan bukti-bukti adalah wajar dan ia selari dengan prinsip penyiasatan iaitu kesimpulan dibuat berdasarkan entiti-entiti yang kukuh.
Sementara itu, Pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata, banyak perkara yang boleh menyebabkan kejadian pesawat terhempas itu berlaku. “Keadaan cuaca langsung tidak memainkan peranan kerana kita ketahui keadaan cuaca termasuk kelajuan angin adalah baik. “Oleh itu, pihak Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menumpukan perhatian terhadap keadaan pesawat untuk mencari bukti-bukti atau petunjuk berbentuk teknikal terlebih dahulu sebelum memperolehi data kotak hitam yang perlu diproses terlebih dahulu.
“Sekiranya tiada masalah teknikal ditemukan, barulah mereka akan cari bukti sekiranya kejadian terbabit adalah disebabkan oleh kesilapan manusia,” katanya. Sumber: Hmetro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.