Menerusi pembinaan pelbagai kandungan digital berkaitan dunia masakan, kini, nama Khairul Aming mula meniti di bibir masyarakat terutamanya pengikut-pengikut di platform media sosialnya. Kemanisan perjalanannya kini ditambah dengan warna apabila namanya tercalon dalam kategori Creator of the Year di acara TikTok Awards Malaysia 2023 yang pertama kali diadakan.
Walaupun tersenarai bersama nama-nama yang boleh dikatakan ‘kuat’ di platform media sosial masing-masing, Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman disebut-sebut, bakal ‘menang besar’ di acara yang akan berlangsung pada Ahad ini. Tak mahulah janji manis, tapi harap-harap boleh menang nanti. Insya-Allah, doakan saya. Bila tercalon, saya sangat gembira kerana ini kali pertama dianjurkan acara anugerah untuk pencipta kandungan (content creator) sahaja.
Sebagai ‘content creator’ saya dah buat video memasak, dah masuk tahun kelapan dah sebenarnya. Jadi, tahun ini akhirnya ada acara khas. Terima kasih kepada TikTok di atas penganjuran itu,” katanya. Ditanya mengenai kempen yang akan dilakukannya untuk mendapatkan undian, Aming berkata, dia menggunakan platform media sosialnya dengan sepenuhnya.
Berkempen bendera memang takkan ada, tapi, saya akan buat video dan strim secara langsung sebanyak mungkin. Kalau boleh setiap hari, sampailah hari acara berlangsung. Kemudian, saya minta yang ikuti saya di platform lain pun akan masuk dan undi juga,” katanya.
Cukup popular dengan resipi-resipi menarik dan luar dari kebiasaan pada Ramadan setiap tahun, Aming juga berkongsi kegiatannya sebagai ahli perniagaan. Bulan Ramadan memang fokus 100 peratus kepada aktiviti memasak. Tapi, di luar bulan Ramadan saya banyak fokus kepada perniagaan. Jadi, saya ada produk kedua selepas ini, tapi belum dapat dikongsikan lagi dengan lebih lanjut,” katanya.
Ditanya sama ada, dia pernah dihubungi oleh ‘content creator’ generasi baharu, Aming tidak menafikan perkara itu dan berkongsi idea dengan mereka. Ramai yang minta nasihat saya dan saya gembira kerana industri ‘content creator’ semakin berkembang. Cuma, diharapkan, kita boleh tambah lagi jumlah ‘content creator’ dalam industri lain lagi.
Contohnya, sekarang dah ramai ‘content creator’ yang membuat kandungan berkaitan makanan. Saya harap, mungkin lebih banyak ‘content creator’ yang muncul dalam bidang pendidikan, teknikal contohnya yang mengajar cara memperbaiki kenderaan, sebab di luar sana ramai yang berilmu. Cumanya, mereka malu dan segan untuk tampil ke hadapan. Harapnya, dengan adanya acara anugerah sebegini, dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai ‘content creator’ di sana yang tampil ke hadapan,” katanya.
Diminta memberikan pendapat mengenai sikap sesetengah generasi baharu yang memilih untuk menjadi pempengaruh dan mengabaikan pelajaran, Aming menegaskan bahawa pelajaran adalah keutamaan. Habiskan belajar dahulu. Media sosial ini bukanlah mudah sebenarnya sebab nak kekal relevan pun memakan masa yang lama. Saya pun, Alhamdulillah, dah tahun kelapan, tapi bukan perjalanan yang mudah.
Kepada adik-adik di luar sana, habiskan pelajaran. Saya sendiri pun mula hasilkan kandungan online selepas bekerja dan bukan zaman belajar. Masa itu ada, jangan risau,” katanya. Ditanya sama ada dia gusar dengan kehadiran ‘content creator’ yang umpama mengklon idea-ideanya, Aming sentiasa berpegang dengan rezeki.
Saya tak ada masalah. Saya okay sahaja. Ketika saya baru bermula dahulu pun, saya mencari inspirasi sebab saya tak pernah buat. Jadi, bila kita ambil inspirasi daripada orang, lama kelamaan, kita akan wujudkan identiti kita sendiri. Jadi, kepada yang baru bermula, janganlah kecam atau hakimi mereka. Biarkan mereka hasilkan video dan keluarkan identiti sendiri.
Bila orang buat kandungan sama seperti saya, saya okay sahaja. Tak ada masalah. Saya lagi gembira sebab rezeki masing-masing,” katanya. Saat ditanya sama ada dia menyimpan impian untuk muncul dengan program masakan sendiri di kaca TV, Aming nampaknya lebih selesa dengan keberadaannya di platform online.
Rasanya tak kot sebab saya naik dari bawah melalui platform online. Jadi, saya kalau boleh tak mahu lari daripada dunia yang saya ceburi sejak awal ini. Pasukan saya tak besar sebenarnya, dalam empat orang. Jadi, kami cuba kekalkan begini buat masa sekarang. Tawaran memang ada, cuma saya terpaksa tolak sebab tak cukup masa dan tenaga. Nak hasilkan kandungan masakan untuk saluran sendiri pun dah jenuh, ditambah dengan perniagaan lagi. Jadi, saya terpaksa tolak dahulu,” katanya.
Selain Aming, kategori Creator of the Year turut menyaksikan empat calon lain iaitu Boss James, Lawyer Gandhi, Auntie Purple, Ceddy dan Sally Whoo. Selain kategori itu, TikTok Awards Malaysia 2023 juga mempertandingkan 12 kategori lain iaitu Rising Star of The Year, Celebrity Creator of the Year, Popular Creator of The Year, LIVE Creator of The Year, Creator of The Year, Popular Animation Account of The Year, TikTok Shop Creator of The Year, Best of Fashion & Beauty, Best of Entertainment, Best of Gaming, Best of Sports, Best of Education dan Best of Foodie.
TikTok Awards Malaysia 2023 akan berlangsung esok dan akan disiarkan secara langsung di TV3 serta platform TikTok Malaysia. Kredit Harian Metro. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.