Ada usaha walaupun huru hara, Mas Idayu teruja tengok persembahan Syaiful dan Sharif Zero

JURI tetap program Famili Duo 2023, Mas Idayu meluahkan rasa teruja melihat persembahan minggu pertama duo adik-beradik kumpulan Zero iaitu Syaiful dan Sharif. Menurut Mas atau Mas Idayu Mesnun, 51, peserta lain yang bergelar penyanyi harus berasa gentar dengan kreativiti yang dihasilkan oleh pelawak yang menyertai program berkenaan. “Kita sekarang ini ada dua pasangan pelawak, mungkin kita fikir mereka tidak boleh lawan vokal penyanyi hebat tapi dalam program ini penyanyi yang perlu takut.

“Apabila dilihat kesungguhan juara mingguan, yang lain perlu berjaga-jaga walaupun di atas pentas mereka kata takut dengan penyanyi lain. Penyanyi lain boleh ke buat macam pelawak-pelawak itu, buat persembahan penuh kreativiti dan faham apa yang juri nak. Saya harap semua peserta memahami konsep program ini,” katanya. Mas berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas konsert minggu pertama Famili Duo musim ketiga (FD3) yang diadakan di Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam, Selangor pada malam Ahad. Mengulas mengenai kemenangan pasangan ini menjadi juara mingguan, Mas mengakui nyanyian mereka tidaklah sebagus yang dibayangkan, namun usaha ditunjukkan membuatkan mereka layak memperoleh kemenangan itu.

“Syaiful dan Sharif menyanyi bukannya bagus sangat tapi… saya nampak dia kerja keras. Dia nak masuk dalam dunia (nyanyian) kita, jadi dia berkerja keras. Mereka berusaha menyanyi termasuklah soal pakaian walaupun huru-hara,”ujarnya. Dalam pada itu, Mas berkata dia teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan persembahan dua beradik ini pada konsert minggu depan. Malah Mas memuji Sharif dan Syaiful kerana dilihat seakan-akan mencabar diri memilih tema cinta yang mungkin menjadi cabaran buat mereka.

“Untuk minggu depan mereka pilih lagu cinta… kita nak tengok segala-galanya dari atas sampai bawah. Sama ada mereka bawa karakter ataupun macam mana… itu yang saya berkobar-kobar pada minggu depan,” luahnya. Sementara itu, seorang lagi juri iaitu Ajai atau Mohd Faizal Maas, 48, turut berkongsi pendapat sama dengan Mas Idayu. Katanya, matlamat program ini tercapai apabila terdapat peserta yang mempunyai kreativiti dalam persembahan. “Pendapat saya juga hampir sama, bagi saya peserta yang mempunyai kerjaya sebagai penyanyi perlu ada sedikit usaha sebab mereka ini belum nampak konten yang bakal dipersembahkan nanti.

“Bagi saya kelebihan program ini pada mereka yang mencipta konten. Ini kerana ada antara mereka miliki YouTube atau TikTok, jadi mereka ada idea dan nampak matlamat program ini iaitu kreativiti dalam persembahan,” ujarnya. Pada persembahan minggu pertama, Sharif dan Syaiful muncul sebagai juara mingguan dengan markah sebanyak 55.4 peratus. Kejayaan itu melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. Sementara itu, Shila dan adiknya iaitu Syahir berjaya mendapat tempat kedua dengan markah sebanyak 49.1 peratus.

Tempat ketiga pula milik Ryan dan Adam Bakery dengan 42.2 peratus, Tom dan Fuad (41.3), Haqiem Rusli dan Ariff Bahran (37.8) serta Adira dan Emma Suhaimi (36.2). FD3 bersiaran langsung setiap hari Ahad, pukul 9 malam di TV3 dan Tonton. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.