LIMA sekawan yang disaman fitnah RM2.5 juta oleh Siti Nordiana sebelum ini pernah terbuka hati untuk menamatkan persengketaan dan bersedia membuat permohonan maaf terhadap penyanyi berkenaan. Penyanyi Lan Solo memberitahu hasrat itu terbantut selepas sesi mediasi di antara mereka gagal mencapai kata sepakat. Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 38, berkata, syarat dikemukakan penyanyi berkenaan ketika itu tidak dapat dipersetujui apabila mereka perlu membayar ganti rugi kepadanya.
“Kami akui kekhilafan dan keterlanjuran, sebagai manusia biasa hanya permohonan maaf boleh dilakukan tetapi apabila jalan tengah yang dicadangkan disekat dengan beberapa syarat lain. Syarat dikemukakan adalah membuat permohonan maaf secara terbuka serta mengadakan sidang media dan itu tak menjadi masalah. “Tetapi apabila permohonan maaf itu disertakan ganti rugi, saya rasa itu agak keterlaluan,” katanya.
Lan menjelaskan perkara itu ketika mengadakan sidang media di kediamannya di Puchong, Selangor pada pagi Rabu. Turut ada bersama ialah isteri Lan iaitu Nur Sheila Hassim, Syura Badron dan peguam mereka Azlan Abdul Razak. Dalam pada itu, Lan berasa lega dan tenang apabila kes tersebut akhirnya menemui noktah apabila mereka saling bermaaf-maafan pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Selasa.
Lan juga terbuka untuk kembali bekerjasama dengan Siti Nordiana malah berharap mereka semua dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ini. Sementara itu, Azlan menjelaskan tujuan sidang media ini diadakan bukan untuk memburukkan mana-mana pihak sebaliknya bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku terhadap anak guamnya sebelum ini. “Tiada niat lain sebab kes ini pun sudah selesai dan anak guam saya serta pihak plaintif pun sudah setuju dengan keputusan mahkamah semalam (Selasa). Jadi harapnya tiada isu berbangkit selepas ini,” jelasnya.
Pada prosiding itu, Siti Nordiana, 39, membuat permohonan maaf kepada lima defendan dalam kes saman berkenaan selain menyatakan dia memaafkan semua tindakan mereka sebelum ini. Lima sekawan iaitu penyanyi Lan Solo, Syura Badron, Nur Sheila, Sam Musyadzafar dan Raziah Ahmad kemudiannya membuat permohonan maaf selain memaafkan Siti Nordiana di hadapan hakim Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan. Isu membabitkan Siti Nordiana bersama lima sekawan itu bermula apabila peserta All Stars Gegar Vaganza (ASGV) itu memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta terhadap mereka pada 3 Ogos 2021.
Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai 2021 di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, dengan menamakan Lan Solo, 38, isterinya Nur Sheila, 37, dan Syura, 37, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga. Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 45, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 44. Dalam saman tersebut, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan.
Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah. Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai 2021.
Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.