Tahukah anda alat pengering rambut antara salah satu alatan yang mudah terbakar. Membersihkan rumah seperti menyapu dan mengemop lantai, mencuci pinggan serta mengelap habuk sudah menjadi rutin harian agar kediaman bersih dan selesa. Akan tetapi, ramai yang mengabaikan untuk membersihkan beberapa peralatan di dalam rumah kerana kotorannya mungkin tidak dapat dilihat. Tidak hanya itu, penting untuk kerap menyelenggara dan membersihkan alatan ini kerana ia turut boleh mengundang bahaya. Reader’s Digest menyenaraikan lima alatan di rumah yang kerap diabaikan sehingga dapat menjadi penyebab kebakaran di rumah
Pembakar roti adalah salah satu barang digunakan setiap hari oleh kebanyakan orang tetapi jarang dibersihkan. Ia boleh mendatangkan bahaya termasuk kebakaran apabila serbuk roti yang jatuh di bahagian bawah pemanggang boleh menjadi keras dan terbakar apabila pembakar dinyalakan. Jadi sebaik-baiknya, bersihkan kotoran itu sekerap mungkin bagi mengelakkan lebih banyak serbuk roti berkumpul di bawah pembakar yang boleh menyebabkan ia menjadi bahan pembakar.
Kipas pembersih udara
Salah satu bahaya kebakaran yang paling sering diabaikan adalah kipas pembersih udara di dalam bilik air. Ia sangat jarang dibersihkan sehingga dari kejauhan boleh dilihat kotoran seperti debu yang melekat pada bilah kipasnya menebal. Paling membimbangkan, ada yang sentiasa menghidupkan kipas itu dan boleh menyebabkan suhunya menjadi panas dan memicu kebakaran. Apabila habuk dan debu memenuhi motor dan penutup kipas, ia dengan mudah meningkatkan suhunya dan malang sekali jika ia terbakar.
Penghawa dingin
Penghawa dingin juga berpotensi menjadi penyebab kebakaran di dalam rumah anda. Bukan kerana habuk yang melekat padanya tetapi kabel wayar. Jika wayar penyambungnya putus, risiko kebakaran rendah namun ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya ia menggelupas, aliran elektrik masih dapat disalurkan. Suhu panas berlebihan berpotensi menyebabkan kebakaran atau litar pintas. Jadi sebaik-baiknya, sentiasalah periksa keadaan penghawa dingin anda.
Penyedut asap dapur
Membersihkan penyedut asap dapur (cooker hood) secara berkala dapat mencegah kebakaran akibat resapan minyak pada alatan itu. Bagi membersihkan alatan itu, cukup sekadar menggunakan air panas, serbuk penaik dan sabun pencuci pinggan bagi menyerap minyak dan lemak yang melekat padanya.
Pengering rambut
Ketika seseorang menggunakan pengering rambut, kotoran, debu, minyak daripada kepala akan mula berkumpul di dalam saluran alatan itu serta boleh mendatangkan bahaya tanpa disedari. Jika alat pengering rambut anda berbau seperti sesuatu terbakar, jangan berasa pelik tetapi itu adalah tanda-tanda bahawa ia perlu dibersihkan atau diganti. Sumber, mstar