Kisah peribadi Syafiq lebih menjadi tumpuan berbanding kerjaya. Pelakon Syafiq Kyle mengakui terkilan apabila cerita peribadi terutamanya kisah cinta lebih menjadi perhatian ramai berbanding hasil kerjanya sebagai seorang pelakon. Justeru Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 30, memohon agar hal tersebut tidak lagi diperkatakan selepas ini dan orang ramai memberi fokus kepada kerjaya seninya.
“Saya terlibat dengan banyak promo drama tetapi kisah peribadi lebih mendapat perhatian. Rasanya tak perlu diteruskan lagi. Ada sedikit rasa kecewa apabila ia menjadi perhatian berbanding kisah kerjaya. Jadi saya minta kepada semua agar lebih beri perhatian kepada kisah drama yang ingin saya kongsikan kepada semua,” katanya.
Syafiq ditemui ketika sidang media pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul One Cent Thief yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa. Enggan lagi mengulas tentang kisah cinta dengan pelakon Mimi Lana yang sebelum ini pernah dikatakan hampir menuju ke jenjang pelamin, Syafiq berkata peminat pasti akan mengetahui hala tuju hubungan mereka apabila tiba masanya nanti.
“Semua faham apa yang berlaku dalam kisah peribadi dan biarlah ia begitu sahaja. Sampai masa ia akan terjadi juga,” jelasnya. Sementara itu bercakap tentang karakter Iman Shah dalam drama tersebut, Syafiq berani melakukan eksperimen sendiri tanpa merujuk mana-mana watak lain untuk menghidupkan jalan cerita sebagai seorang penggodam.
Semua faham apa yang berlaku dalam kisah peribadi dan biarlah ia begitu sahaja. Sampai masa ia akan terjadi juga
Dalam masa sama drama ini juga memberi cabaran hebat buat Syafiq kerana ia turut menuntut kekuatan fizikal dalam beberapa babak aksi. “Saya cuba untuk design karakter sendiri untuk drama kali ini. Saya tidak tiru mana-mana watak untuk dijadikan rujukan. Saya anggap ini juga sebagai satu eksperimen. Setiap karakter dalam drama ini ada latar belakang sendiri. Untuk watak saya ia agak mencabar kerana terdapat babak aksi yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Selain Syafiq, drama ini turut menampilkan pelakon lain seperti Azira Shafinaz, Faizal Hussein, Sofie Jane, Amerul Affendi, Aghonderan Sahadevan dan Fabian Loo. Ia bakal ditayangkan di empat saluran berbeza iaitu Astro Ria, Vinmeen, Shuang Xing De dan Primetime bermula 8 Oktober ini. Sumber, Mstar Online