Perbanyakkan ibadah 10 malam terakhir puasa, Ini sebab mengapa Allah sembunyikan masa khusus Lailatul Qadar

Seharusnya umat islam perlu hidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan perbanyakkan ibadah dan meminta keampunan daripada Allah. Ramadan merupakan bulan yang begitu istimewa bagi para mukmin di seluruh dunia. Bagi mereka yang menjalankan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh pada bulan tersebut, maka Allah akan memberikan balasan kepada hamba-hamba. Sedar atau tidak, berbaki beberapa hari sahaja lagi Ramadan akan meninggalkan kita. Sungguh syahdu untuk berpisah dengan bulan yang sangat mulia. Justeru, digalakkan untuk kita meningkatkan amal ibadah ketika di ambang 10 malam terakhir kerana terdapat satu malam istimewa yang dipanggil malam Lailatul Qadar sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Qadr ayat 1-5 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (3) Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); (4) Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” Jelas bahawa Lailatul Qadar adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bayangkan ia adalah malam yang sangat mulia di mana para malaikat turun membawa rahmat Allah bagi orang-orang yang terpilih bertemu dengannya.

Lailatulqadar berlaku pada salah satu malam sahaja di dalam bulan Ramadan.

Berdasarkan ayat al-Quran dalam Surah al-Qadr, Allah menyebut Lailatul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun. Selain itu Lailatulqadar juga merupakan malam kemuliaan yang Allah SWT hadiahkan kepada umat Nabi Muhammad. Malam teragung ini hanya akan berlaku pada salah satu malam sahaja di dalam bulan Ramadan. Justeru, digalakkan untuk kita berusaha untuk menghidupkan malam-malam terakhir di bulan Ramadan untuk memburu malam istimewa iaitu Lailatul Qadar. Terdapat hadis yang menunjukkan kesungguhan Baginda Rasulullah pada 10 malam terakhir.

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut.” [HR Ibnu Hibban 3436] Terdapat beberapa amalan sunnah yang kita perlu lakukan dan perbanyakkan di 10 malam terakhir Ramadan. Antaranya ialah melakukan qiamullail, solat fardu secara berjemaah, perbanyakkan berzikir dan berselawat, membaca al-Quran dan perbanyakkan sedekah jariah. Jika di bulan-bulan lain kita kurang melakukan amalan-amalan sunnah tersebut, inilah masanya untuk kita bersungguh-sungguh dalam ibadat agar Allah pertemukan kita dengan malam hebat iaitu malam Lailatul Qadar.

Tetapi, masih ramai lagi yang bertanya bilakah waktu sebenarnya malam Lailatul Qadar? Adakah malam tersebut hanya berada di 10 malam terakhir Ramadan. Berdasarkan hadis Rasulullah, Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir Ramadan.” [HR Bukhari 2017] Walau bagaimanapun, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui waktu sebenar malam Lailatul Qadar.

Malam Lailatulqadar adalah peluang bagi orang Islam mendapat sebesar-besar keampunan dari Allah Taala.

Ada sebab Allah menyembunyikan waktu Lailatulqadar, termasuklah. Menunjukkan kehebatan Allah. Allah Maha Mengetahui segala-galanya yang telah diciptakan termasuklah waktu malam Lailatul Qadar seperti mana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud. “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” Supaya manusia dalam keadaan ibadah.Apabila kita tidak tahu bilakah waktu Lailatul Qadar yang sebenarnya, ia akan menjadikan kita ingin beribadah pada semua malam dan tidak fokus pada satu malam sahaja. Hal ini menjadikan orang-orang yang beriman sibuk dengan ibadah sepanjang Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir untuk mencari Lailatul Qadar. Supaya manusia digandakan pahala. Bayangkan jika kita sudah tahu waktu malam Lailatul Qadar, sudah tentu kita abaikan waktu malam yang lain di bulan Ramadan. Sebab itulah Allah menyembunyikan waktu tersebut bagi memberi pahala yang berlipat ganda pada hamba-Nya yang sentiasa berusaha beribadah dan istiqamah berdoa kepada Allah.

Supaya manusia tidak melakukan maksiat. Banyak di antara kita yang tidak dapat mengelak dari perbuatan maksiat. Betapa bahaya dan malangnya mereka jika mereka mengetahui malam tersebut adalah malam Lailatul Qadar, sedangkan mereka masih berani melakukan dosa dan maksiat. Malam Lailatul Qadar adalah peluang bagi orang Islam mendapat sebesar-besar keampunan dari Allah Taala. Oleh itu, sama-samalah kita tingkatkan diri dalam beribadah sementara Ramadan masih berbaki beberapa hari sahaja lagi. Semoga Allah menerima ibadah kita, ampuni dosa kita serta mengizinkan kita untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar. Sumber, mstar