Rupanya ada beza selesema dan flu, Bahaya mendatang jika tidak dirawat dengan betul

Tahukah anda peratusan penyakit flu dijangka akan kembali meningkat. Faktanya masih ramai rakyat Malaysia tidak dapat membezakan di antara flu dan selesema biasa atau menganggap flu sebagai penyakit musim sejuk dan hanya berlaku di negara beriklim sederhana. Kedua-dua tanggapan itu bagaimanapun salah sama sekali. Pengerusi Jawatankuasa Immunise4Life (IFL), Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail menjelaskan flu adalah ancaman kesihatan yang serius terutamanya kepada kumpulan berisiko tinggi seperti wanita hamil, kanak-kanak, penderita penyakit kronik dan warga emas. Di Malaysia jelas Dr Zulkifli, flu boleh berlaku sepanjang tahun dan kadangkala menjadi wabak yang menular secara meluas.

Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Kata beliau “Ketika wabak Covid-19 melanda, bilangan kes flu hampir tiada namun v1rus itu kembali sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Malah Malaysia dan beberapa buah negara lain mula melaporkan kes penyakit itu. “Kes flu dijangka meningkat seiring dengan pembukaan sektor pelancongan dengan pergaulan semakin bebas dan tidak terbatas,” katanya kepada mStar. Dr Zulkifli berkata, apabila flu menular, ramai rakyat negara ini akan terdedah ditambah kebanyakan orang tiada perlindungan vaksin terhadap sakit flu. Disebabkan penularan virus itu yang rendah sejak dua tahun lalu, keimunan populasi juga menurun dan ia memburukkan lagi keadaan. Flu boleh membawa padah, “Saya nasihatkan semua individu berisiko untuk mendapatkan suntikan flu tahunan secepat mungkin dan ia akan membantu mengurangkan risiko keadaan menjadi teruk,” katanya.

Usia lanjut dan penyakit kronik gabungan maut

Sementara itu, Pakar Endokrinologi, Profesor Dr Chan Siew Pheng memberitahu lebih 40 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas menghidap diabetes jenis 2. Katanya, paras gula dalam darah yang tinggi secara berterusan boleh melemahkan sistem imun mereka, meningkatkan kekerapan dan tempoh jangkitan flu, lalu membahayakan lagi nyawa pesakit. Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia itu juga menjelaskan sakit flu boleh menyukarkan pengurusan diabetes, dan sekali gus menyebabkan paras gula dalam darah meningkat. “Jangkitan flu juga boleh mengurangkan selera makan dan pengambilan makanan dan ini menyebabkan paras gula dalam darah menurun. Keadaan mereka yang semakin teruk boleh mengancam nyawa.

Profesor Dr Chan Siew Pheng.

Kata beliau “Malah, kehadiran diabetes boleh memburukkan lagi keadaan flu seseorang. Ramai pesakit diabetes menghidap komorbiditi lain, seperti tekanan darah tinggi dan sakit buah pinggang; yang hanya meningkatkan kemungkinan berlakunya komplikasi flu yang serius,” jelasnya. Dr Chan menjelaskan pesakit yang menghidap diabetes, walaupun sakit tersebut diuruskan dengan baik, adalah dinasihatkan untuk menjadikan langkah pencegahan flu sebagai komponen penting dalam pengurusan diabetes mereka termasuk pengambilan suntikan tahunan flu. Lebih membimbangkan kata Dr Chan, penghidap sakit jantung berdepan risiko enam kali ganda berkemungkinan mendapat serangan jantung selepas dijangkiti flu. “Jangkitan flu juga meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 10 kali ganda dan strok sebanyak lapan kali ganda walaupun individu tersebut tiada sejarah penyakit kardiovaskular,” jelasnya. Sumber, mstar