Nak kan duit punya pasal sampai sanggup suruh orang tua berendam dalam air

APA saja sanggup dilakukan sebilangan pempengaruh media sosial untuk mencari wang dengan mudah. Bagaikan satu ‘kerja tak betul’ apabila ada dalam kalangan golongan penyedia kandungan atau content creator itu yang sanggup bertindak jahat kepada ahli keluarga sendiri demi meraih populariti. Terbaharu, seorang individu aktif berkongsi video seolah-olah mengemis sumbangan hadiah daripada warganet di TikTok yang kemudiannya boleh ditebus dalam bentuk wang ringgit. Dalam hantaran dibuat pengguna dikenali sebagai @intan_komalasari92, dia mempromosikan beberapa rakaman video supaya orang ramai dapat menonton siaran langsung (live) yang dibuat ketika aktiviti mandi lumpur membabitkan ibu, bapa dan juga neneknya.

Menurut individu berkenaan, dia tidak mengejar populariti dengan viral sebaliknya mahu bergembira dan menghiburkan penonton. “Masuk live guys. Saya tak perlukan viral. Saya perlukan duit untuk beli skin Mobile Legend (permainan video) dengan makan KFC (Kentucky Fried Chicken). “Join live 24 jam tanpa henti teman ibu saya di sini,” ujarnya. Berdasarkan deretan video-video pendek yang dikongsikan, ahli keluarganya itu diminta duduk di atas kerusi plastik di dalam sebuah kolah yang diisi air secara sedikit demi sedikit sambil disaksikan warga maya secara langsung. Untuk rekod, TikTok mempunyai fungsi menarik yang dipanggil coins (syiling).

Jika layak untuk mengadakan live stream, anda boleh mengumpul duit daripada pengikut kesayangan yang kemudiannya ganjaran tersebut dapat ditukar kepada wang. Buat masa sekarang ini adalah cara yang paling popular untuk ‘buat duit’ daripada TikTok. Sementara itu daripada satu rakaman skrin (screen recording) dimuat naik Anitiya di TikTok, kelihatan seorang nenek meminta izin untuk ke tandas gara-gara tidak tahan mahu membuang air kecil. Namun, dia dihalang dan warga emas bernasib malang itu diminta meneruskan aktiviti dan kencing ketika membuat live.

Tindakan sanggup, pengguna TikTok itu ternyata mengundang kritikan ramai hingga mendapat perhatian ahli perniagaan dikenali sebagai Jhon yang menggunakan akaun @jhon.lbf_official. Demi menggesa agar penghasilan kandungan seperti itu segera dihentikan, Jhon menawarkan peluang pekerjaan kepada individu tersebut. “Saya tunggu persetujuan kemungkinan dia mahu bekerja di kedai saya. “Biar dapat duit (dengan bekerja) daripada dia buat macam tu dekat ibu sendiri,” katanya dalam nada simpati. Namun tawaran kerja itu ditolak mentah-mentah individu berkenaan.

Sebaliknya dia meminta untuk diberikan wang sebanyak 200 juta Rupiah (RM57,000) sebagai ‘pampasan’ agar menghentikan penghasilan kandungan berkenaan. “Kalau abang Jhon tak nak tengok kami buat live streaming macam ni, transfer 200 juta Rupiah.

“Sebab dekat video abang tu banyak pergi melancong ke sana sini. Pindahkan jumlah wang tersebut sebagai modal memulakan perniagaan supaya kami tak lakukan live macam ni dekat TikTok,” katanya. Kejadian tersebut berlaku di Indonesia namun turut menjadi tular di negara ini apabila ruangan komen pada video-video yang dikongsikan dipenuhi dengan ulasan warganet dari Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *