Pernah ada kelab sendiri, pemuda terkaya ni peluk Islam sebab terpegun dengar ibu kawannya mengucap Syahadah

ALFRED William Best, salah seorang pemuda terkaya di Britain mengucap dua kalimah syahadah, satu keputusan yang cukup mengejutkan orang sekeliling dan para pengikutnya. Alfred, 25, atau lebih dikenali sebagai Alfie Best Jr merupakan anak kepada seorang usahawan berjaya dan tersohor, Alfie Best Sr yang mempunyai nilai kekayaan £700 juta, menurut Sunday Times Rich List. Bapanya memiliki taman residensi terbesar di Eropah, Wyldecrest Parks. Empayarnya kini bernilai kira-kira £1.2 bilion dan dia tinggal di rumah agam bernilai £6 juta di Surrey.

Alfie yang dilahirkan pada 22 Mei 1997 di Redbridge, London, baru-baru ini memutuskan menjadi seorang Muslim dengan cara yang cukup menarik dan alasannya memeluk Islam juga membuatkan orang ramai berasa kagum Beberapa bulan lalu, dia berkongsi gambar di dalam masjid dengan kapsyen: “Allah memberi petunjuk, tiada siapa yang boleh menyesatkan. Barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka tidak ada yang dapat memberi petunjuk.” Bercerita mengenai permulaan penghijrahannya, Alfie berkata ketika sedang bercuti dengan rakan-rakannya menaiki helikopter, ibu salah seorang daripada mereka mahu memeluk Islam .

Semasa wanita itu ingin mengucapkan kalimah syahadah, mereka pergi ke masjid di London dan di situlah dia dapat merasakan terdapat kekuatan luar biasa besar sehingga mahu menerima Islam dalam hidupnya. Sebelum ini Alfie adalah penganut agama Kristian namun kurang taat dengan perintah agama yang dianutnya itu. Dalam menjalani kehidupan, dia seperti kehilangan arah dan tidak mendapat bimbingan khusus. “Dulu saya non-Muslim. Tak terlalu taat walaupun ada agama. Saya berasa ada sesuatu yang hilang dan tak pernah rasa ada orang yang dapat menasihati mengenai apa yang harus dan tidak boleh dilakukan, serta memberi bimbingan hidup yang nyata,” kata Alfie, memetik saluran YouTube Osman Lion.

Pertama kali menjejakkan kaki ke masjid dan menyaksikan ibu rakannya mengucap dua kalimah syahadah, sejak saat itu Alfie mula tertarik mempelajari Islam. “Saya pergi ke masjid sekali dengan salah seorang teman dan ibunya mengucapkan syahadah, dan saya masuk (ke masjid itu). Saya sangat berfikiran terbuka dan sebenarnya sangat tertarik dengan keseluruhan tentang Islam,” jelasnya. Afie berkata, dia berasa tertarik apabila Islam melibatkan Tuhan dalam segenap aspek kehidupan dan menjadi pembimbing umat manusia sehingga memimpin umatnya ke jalan benar.

Ketika menyaksikan ibu rakannya mengucap dan memasuki masjid, Alfie merasakan satu ketenangan yang pertama kali dirasakannya. Perasaan itulah yang selama ini dicari. “Saya menyaksikan ibu kepada rakan mengucapkan syahadah dan saya merasakan sesuatu di masjid yang belum pernah saya rasakan di tempat lain. Saya fikir mungkin ini adalah sesuatu yang hilang,” ujarnya. Alfie terus mengambil kitab suci Al-Quran dan terus berusaha memahaminya. Daripada apa yang dipelajari, dia semakin sedar betapa agama Islam selalu membimbing umatnya menjadi manusia yang baik.

Dia juga mula menunaikan solat dan mengakui banyak manfaat yang diperolehinya. Ketenangan fikiran, hati, serta kebahagiaan yang selama ini dicari ternyata diperolehi apabila dia sembahyang. Baginya, dia berasa aneh apabila solat sentiasa menenangkan hati dan perasaannya ketika jiwanya tidak tenang. “Saya rasa sangat selesa bangun pagi dan berdoa (solat Subuh) itu menghilangkan stres. Ketika bekerja siang hingga malam, saya tidak dapat menjelaskannya, tapi setelah solat seperti lega, seperti telah menyelesaikan sesuatu yang penting. Saat mengalami kecemasan, setelah solat rasanya menjadi tenang lagi,” kata Alfie.

Mengenai latar belakang dirinya, bisnes pertama Alfie adalah menjual gula-gula di sekolah dan kemudian membekalkan peralatan pejabat. Meningkat remaja, dia mula menganjurkan pesta untuk pelancong, sebelum membeli kelab sendiri. Dia kemudian menjual kelab untuk membeli sebuah taman pada usia 17 tahun sekali gus menjadi pemilik taman termuda di negaranya. Dia pernah memberitahu BQ Live: “Saya mahu menjadi pemilik taman terbesar di Eropah. “Bekerja untuk diri sendiri, anda tidak memerlukan kelayakan, anda hanya perlu mahu melakukannya.” Apabila tidak sibuk menguruskan taman, Alfie menceburkan diri dalam sukan tinju. -Muslim Mirror

Sumber: TTK. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.