Dah siap beli hadiah sebelum jemput dekat sekolah, Fizi Ali luah rasa gembira dapat jumpa dengan anak

PENYAMPAI radio Hot FM iaitu Fizi Ali dilihat tersenyum gembira akhirnya dapat memeluk anaknya iaitu Ameena Sofia selepas lebih tiga bulan tidak bertemu. Meluahkan rasa syukur, Fizi atau Mohd Hafizudin Alimudin, 35, memberitahu dia tidak dapat menahan air mata tatkala menjemput anaknya itu di sekolah pada Jumaat. “Tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan bila dapat berjumpa anak. Rasanya terlalu gembira. Saya pun sudah siap beli hadiah sebelum menjemput dia di sekolah tengah hari tadi (Jumaat).

Dari atas tangga sekolah dia sudah jerit panggil ‘daddy’. Kami berpelukan ketika berjumpa dan ketika itu air mata dah mula bergenang tetapi saya tahan agar tidak menangis,” katanya ketika dihubungi. Fizi sebelum itu turut berkongsi gambar bersama Ameena selepas mereka menikmati aiskrim atas permintaan anaknya itu. Kata Fizi, dia juga merancang mahu membawa Ameena berjumpa nenek dan datuknya kerana terlalu rindu selepas sekian lama tidak bertemu.

“Malam ini saya akan bawa Ameena untuk jumpa ibu bapa saya. Mereka semua sudah rindu. Kami juga sudah rancang pelbagai aktiviti sepanjang tempoh empat hari ini. Ameena pun sudah mula menyebut banyak perkara untuk dia buat. Jadi sepanjang tempoh ini saya cuba lakukan sesuatu yang buat kami gembira. Pada mulanya nak ke taman tema air, namun disebabkan cuaca tidak menentu rasanya lebih baik tukar perancangan,” ujarnya. Fizi sebelum ini dibenarkan untuk bertemu Ameena meskipun sebutan kes hadanah bersama bekas isteri iaitu Shakilla Khoriri masih belum selesai.

Meskipun hanya diberi kebenaran selama empat hari, Fizi menganggap ia satu hadiah yang cukup bermakna. “Kalau boleh saya tidak mahu bercakap tentang apa yang berlaku sebelum ini kepada Ameena. Biarlah kami menikmati waktu sekarang dan tidak mahu menggangu emosi dia dengan perkara yang tidak sepatutnya. “Sebelum ini dengan inisiatif peguam, saya dapat berjumpa Ameena untuk tempoh empat hari. Selepas ini kalau mahu berjumpa saya perlu minta kebenaran lain sehingga keputusan kes hadanah di tetapkan,” jelasnya.

Fizi dan Shakilla sebelum ini mencapai persetujuan berhubung tempoh pertemuan kali ini dalam sebutan kes hadanah mereka yang kini masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, baru-baru ini. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.