Berharap suami diberikan kesembuhan seperti sedia kala, wanita luah kali terakhir jumpa dengan suami masa raya

BERJAUHAN dengan orang tersayang pastinya memilukan. Tambahan pula insan itu adalah suami sendiri yang kini sedang terlantar sakit dan hanya mampu terbaring di atas katil. Melalui satu video tular di laman TikTok, seorang wanita memanjatkan sepenuh pengharapan agar si suami diberikan kesembuhan dan pulih seperti sedia kala. Bercerita lanjut, Siti Nur Qholeeda, 21, atau senang disapa Qal berkata suaminya mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala susulan terlibat dalam kejadian tak diingini jalan raya.

“Saya kahwin dengan suami pada 19 Ogos tahun 2023. Lima bulan selepas tu saya dan suami terlibat dalam satu kejadian yang mengubah seluruh hidup kami. Masih segar di ingatan, ketika tu saya dan suami sedang dalam perjalanan untuk menghadiri ceramah agama di Stadium Hang Jebat, Melaka. Waktu tu kami agak kelam-kabut sebab dah lewat. Suami memandu, saya pula tengah bersiap dan bersolek sambil tengok cermin. Tiba-tiba semuanya melayang dan saya terhumban ke setiap arah seperti dalam mesin basuh.

Apabila saya sedar je, saya nampak suami dekat sebelah dah berlumurah drh, badan dia okay tapi ada kecederaan pada kepalanya,” imbas Qal yang menetap di Ayer Keroh, Melaka. Menurut Qal, siasatan mendapati kereta yang dipandu suaminya terbabas sendiri tanpa berlnggr dengan sebarang kenderaan lain. Seterusnya dalam keadaan diselubungi rasa panik, Qal cuba mendapatkan pertolongan orang awam untuk membantu suaminya.

“Badan saya pun ada luka-luka dan banyak drh pada badan. Saya cuba buka pintu kereta tapi tersekat, saya gunakan sepenuh kudrat saya untuk tolak pintu sampai terbuka. Apabila keluar je, saya terus panggil orang dekat kawasan sekitar untuk tolong suami. Mereka pun bantu bawa suami keluar dan seterusnya kami tunggu ambulans sampai. Waktu dalam ambulans suami masih boleh sebut nama saya. Paramedik cakap apa yang penting sekarang ni adalah untuk selamatkan nyawa suami dulu. Sampai dekat Hospital Alor Gajah, doktor terpaksa tidurkan suami untuk stabilkan keadaan dia. Saya pun turut diberikan rawatan.

Selepas pemeriksaan lanjut oleh doktor, rupanya saya patah tulang rusuk dan ada kecederaan pada bahagian kaki,” kata Qal yang merupakan seorang suri rumah dan membuat reviu di media sosial sebagai kerja sambilan. Namun sungguh remuk hati Qal apabila diberitahu tentang nasib suaminya akibat tragedi itu. “Doktor cakap akibat hentakan yang kuat, otak belah kanan suami tertolak masuk ke belah kiri. Ada kemungkinan besar dia bakal hilang ingatan. Sekarang suami ibarat bayi, dia sedar tapi boleh pandang atas je.

Tak banyak rawatan yang boleh membantu, suami sendiri yang kena kuat untuk melwn. Hanya dia seorang yang boleh kembalikan diri dia. Semakin hari berlalu, semakin saya ‘hilang’ suami saya. Memori kami bersama boleh terhapus begitu sahaja. Apa yang suami perlukan sekarang ni adalah keajaiban daripada Tuhan dan doa orang ramai,” kata Qal merayu. Mengenang kehidupan sebelum terbabit kejadian, Qal berkata dia dapat mengesan perubahan sikap pada suaminya.

“Beberapa minggu sebelum kejadian, saya perhatikan suami ekstra mesra dengan saya. Dia selalu minta saya masakkan pajeri terung, makanan kegemaran dia sejak dulu lagi. Lepas tu dia kerap ajak saya pakai baju warna sedondon ke mana-mana kami pergi, tak kisah la nak pergi ke kedai runcit depan rumah sekalipun. Rindunya, Ya Allah pulangkanlah suami saya,” ujar Qal sebak.

Dalam pada itu, Qal memaklumkan suaminya kini dijaga oleh keluarga mentua dan kali terakhir dia bertemu dengan lelaki kesayangannya itu pada Syawal lalu. “Wujud konflik antara saya dengan mentua tapi saya tak mahu ceritakan lebih lanjut tentang perkara tu. Saya cuma dapat jumpa suami apabila mereka beri kebenaran. Saya ikuti perkembangan terkini suami melalui video yang dimuat naik abang ipar di TikTok. Saya hanya berdoa dari kejauhan semoga suami cepat sihat dan rumah tangga kami dapat dipertahankan,” kata Qal menutup bicara.

Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *