Pengecualian bayaran tol pada 20 dan 21 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina dapat menjimatkan kos perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tol. Seorang pekerja swasta, Amir Zahin, 32, berkata, inisiatif itu akan mengurangkan kesesakan yang biasanya dialami rakyat Malaysia setiap kali menjelang musim perayaan membabitkan pergerakan antara negeri. “Bila tol percuma dilaksanakan, ia akan menyenangkan ramai orang (pengguna lebuh raya), sebab kita tak perlu beratur untuk bayar tol yang sudah semestinya melambatkan perjalanan dan menyebabkan kesesakan,” katanya yang akan menuju ke Perak bagi menghadiri majlis perkahwinan, Sabtu ini.
Menurutnya, perayaan Tahun Baharu Cina turut membabitkan kaum lain yang juga mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga. Penuntut Management and Science University (MSU) Chew Kai Li, 23, berpandangan inisiatif itu juga dapat membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan perjalanan terutama perjalanan jauh membabitkan bayaran tol yang tinggi. “Tol percuma ini sangat membantu sebab ia boleh menjimatkan kos perjalanan dan dapat mengelakkan kesesakan disebabkan Touch ‘n Go (TnG) dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID),” kata pelajar wanita itu yang akan pulang ke Kuala Selangor Sabtu ini. Seorang penjawat awam, Hanan Afiqa Mohd Jazri, 26, yang akan pulang ke Melaka Jumaat ini berkata, tol percuma itu akan memanfaatkan semua kaum di negara ini yang turut mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman.
“Sebab selalunya cuti macam ini akan ada kenduri, kita yang bukan kaum Cina pun nak balik kampung dan dapat jimat sikit,” katanya. Seorang lagi penjawat awam, Lee Xi Yi yang akan pulang ke Perak Sabtu ini menyambut baik pengecualian tol itu yang memudahkan rakyat untuk pulang sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkanĀ pengecualian bayaran tolĀ diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara membabitkan semua kelas kenderaan pada 20 dan 21 Januari ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina.