PELAKON Serina Redzuawan reda apabila mahkamah menyerahkan hak penjagaan kekal anak perempuannya, Isabella Saffiya kepada bekas suami iaitu Gavin Edward O’luanaigh pada Februari lalu. Meskipun tidak lagi tinggal sebumbung dengan kedua-dua anaknya, Serina, 40, tetap bersyukur kerana dia tidak dihalang untuk bertemu dengan Isabella, 12 dan Tristan Tareef, 13. “Saya reda dengan apa saja keputusan yang ditetapkan, tapi apa-apa pun saya bersyukur kerana saya tiada masalah untuk berjumpa dengan anak-anak. “Saya mohon maaf kerana tidak dapat beri keterangan lebih tentang anak-anak kerana saya menghormati pihak mahkamah dan perlu mengikut perintah injunksi,” katanya.
Serina berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Royale Fiesta Kelantan Tour yang diadakan di Kelab Golf Seri Selangor, Tropicana Damansara, Selangor pada Isnin. Pada 26 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan Serina mendapat hak penjagaan kekal terhadap Isabella sementara Gavin mendapat hak penjagaan kekal terhadap anak sulung lelaki mereka, Tristan. Bagaimanapun pada 9 Februari lalu, mahkamah memerintahkan hak penjagaan kekal Isabella itu diberikan pula kepada bekas suaminya, Gavin atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar. Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas menemu bual Isabella mengenai pilihan mahu tinggal bersama ibu atau bapa.
Sebahagian alasan yang diberikan Gavin untuk mengubah hak jagaan berkenaan adalah disebabkan Serina sudah berkahwin dengan lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan anak kedua itu. Gavin juga mendakwa Serina kerap berpindah tempat tinggal dan kini berhijrah ke Kangar, Perlis sekali gus menyukarkan wanita berkenaan menjalankan tanggungjawab memelihara keselamatan Isabella. Sementara itu, berkongsi mengenai perjalanan hidupnya, Serina mengakui berdepan fasa kesukaran dalam namun itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus hidup.
Biarpun bapanya iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan bergelar seorang jutawan, Serina berkata dia lebih selesa hidup berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang tua. “Daripada segi dugaan jangan cakaplah. Saya ni antara artis yang diduga dengan segala masalah. Hal perkahwinan, hal anak-anak, macam-macam. “Apa yang membuatkan saya kuat adalah saya daripada dulu tidak pernah bergantung harap pada sesiapa. Walaupun saya ada bapa yang kaya, saya tidak pernah telefon papa minta duit. Saya susah macam mana pun, saya tidak pernah minta duit pada papa.
“Bayangkan walaupun bapa saya jutawan, sebuah telefon bimbit pun saya tidak pernah minta dia belikan. Jadi saya memang dibesarkan untuk struggle dan berusaha sendiri,” ujarnya. Dalam pada itu, Serina berkata hidupnya kini lebih bahagia selepas dua tahun berhijrah ke Perlis bersama suami Meor Mohammad Aidid, 36. “Selama ni kan kita hidup dekat bandar, tiba-tiba bila duduk dekat Perlis rasa tenang. “Bagi saya, bila kita dah dapat kebahagiaan, perkara-perkara lain dah jadi nombor dua. Kita dah tak fikir apa-apa dah. “Saya kata tak mengapalah. Pengorbanan seorang isteri tu lebih mulia daripada apa yang saya ada sebelum ini. Kemewahan, glamor, semua saya dah dapat dulu,” katanya.
Untuk rekod, Serina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Gavin Edward O’Luanaigh pada 1 Januari 2010 namun disahkan berpisah talak satu di Mahkamah Rendah Daerah petaling pada 1 Ogos 2017. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Tristan Tareef dan Isabella Saffiya. Serina kemudiannya berkahwin dengan Meor pada April 2021 dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.