“SEMUANYA sementara.” Demikian kata-kata nasihat terakhir yang sempat dititipkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Ahad. Nasihat tersebut diberikan semasa sesi dialog program Townhall Pesta Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023 bersama mahasiswa UUM di Sintok, Kedah pada Jumaat malam sebelum dikejarkan ke hospital.
Dalam klip video pendek dikongsikan di Twitter Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, beliau menyatakan bahawa menjadi seorang menteri tidak perlu bersifat sombong dengan jawatan yang dimiliki kerana semua itu adalah atas bantuan dan sokongan daripada rakyat. “Apabila kita menjadi menteri atau mendapat jawatan tertinggi sebagai penjawat awam ataupun menjadi Ketua Polis Negara, kita kena ingat ada had masa untuk jawatan itu.
“Saya datang ke acara ini menaiki kereta rasmi bersama pemandu, pengawal peribadi dan tujuh pegawai khas. Tetapi semua ini tidak akan kekal selama-lamanya, jadi kita mesti mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian. “Jika kita angkuh berfikir ‘Oh, saya seorang menteri tahu!’ Tetapi berapa lama ia boleh bertahan? Sampai hari kiamatkah?” tanya beliau. Jelas dalam ucapannya, Salahuddin ikhlas mengingatkan kumpulan pelajar bahawa jawatan yang dicapai seseorang dalam hidup hanya bersifat sementara, selain tidak perlu bermegah-megah.
Pada Jumaat, setiausaha akhbarnya, Syakirin Husnal berkata, Salahuddin, 62, dikejarkan ke HSB selepas mengalami loya dan muntah. Doktor kemudian mengesahkan ada pendrhn di otaknya. Beliau yang juga Ketua Pakatan Harapan Johor dan Timbalan Presiden Amanah pergi menghadap illahi di Unit Rawatan Rapi jam 9.23 malam Ahad. Dilahirkan di Pontian, Johor, Salahuddin yang juga anak kacukan Melayu-Cina, adalah lulusan Universiti Putra Malaysia dan bekerja di sebuah bank sebelum menceburi bidang politik.
Dalam pada itu, Allahyarham Salahuddin turut mengharapkan agar insiatif Payung Rahmah yang menjadi perjuangan beliau sepanjang memimpin KPDN dapat diteruskan dalam apa jua keadaan supaya Malaysia berjaya menjadi sebuah negara kasih sayang. “Cita-cita saya adalah kalau boleh Rahmah ini jadi satu value (nilai), mungkin sampai bila-bila. Setiap peniaga atau antara kita yang membuka perniagaan, yang untung ataupun tidak untung, tapi ada sebahagian daripada perniagaan kita dah niat untuk bantu orang susah.
“Kalau itu boleh berlaku, Insya-Allah, Malaysia boleh jadi negara kasih sayang,” ujarnya. Sementara itu, platform media sosial rasmi Allahyarham Salahuddin menunjukkan ciapan terakhir yang dikongsikan di Twitter seolah-olah petanda bahawa beliau akan pergi selama-lamanya. “Singgah pi market sat (pergi pasar sekejap) tadi borak-borak dengan warga Kedah di Pekan Nat. Elok tengok semua barang basah semua fresh (segar), harga pun berpatutan. Terima kasihlah semua naa. Kita jumpa lagi nanti,” katanya dalam ciapan terakhir pada Jumaat.
Pemergian Allahyarham Salahuddin amat dirasai oleh seluruh negara kerana sifat dan keprihatinan beliau terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat. Sumber: Mstar. PERHATIAN, Pihak kami tidak akan ber tanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggung jawab anda. Sementara itu, anda boleh baca juga kisah kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut.